Siti Aisyah Anas (kiri atas) bersama 6 orang ahli kumpulan TUAH FKEKK telah berjaya merangkul kemenangan berganda dalam Malaysia SiswaSAT Competition2020.

KUALA LUMPUR – TUAH FKEKK, kumpulan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berbangga apabila satelit yang dibangunkan berjaya merangkul kemenangan berganda dalam Malaysia SiswaSAT Competition2020.

TUAH FKEEK merangkul tempat ketiga secara keseluruhan pertandingan dan turut memenangi kategori Kerjasama Pasukan Terbaik.

Kedua-dua kejayaan tersebut melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,500, yang mana RM3,000 bagi hadiah ketiga manakala RM500 bagi Kerjasama Pasukan Terbaik.

Di samping itu, mereka turut menerima Sijil Pertandingan Kebangsaan Rekabentuk dan Pembangunan Model Nano Satelit Peringkat Siswazah (SiswaSAT) 2020.

Pengumuman keputusan pertandingan ini telah diumumkan pada 23 Oktober lalu.

Pertandingan yang bermula sejak 9 Mac sehingga 16 Oktober 2020 itu dianjurkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), UTeM, Siti Aisyah Anas berkata, mereka telah harungi cabaran dalam pertandingan ini selama berbulan-bulan dalam membangunakan satelit mereka yang dikenali sebagai ‘TUAHSAT’.

Satelit yang dibangunkan oleh TUAH FKEKK yang dikenali sebagai TUAHSAT.

Jelasnya, cabaran dilalui sejak dari peringkat awal merekabentuk model satelit berskala nano dengan sistem operasi seperti satelit sebenar yang digunakan di angkasa lepas.

Pasukan TUAH FKEKK dianggotai seramai enam orang pelajar tahun kedua dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian iaitu Muhammad Safie Sijamsir, Syafiq Abdul Halim, Muhammad Izzat Haziq Osman, Siti Nur Syafiqah Mohamed Kamar, Muhamad Amirul Amin Wira dan Muhd Sabri Abdul Rahman.

“Pengalaman dalam pertandingan ini amat berharga buat mereka kerana bukan setakat kepakaran teknikal sahaja yang diuji, malah mereka turut dinilai dalam aspek penyediaan dokumen lengkap pembentangan kajian secara terperinci.

“Kami bersyukur dengan kejayan ini namun kami akan terus berusaha untuk tingkatkan kepakaran serta ilmu dalam bidang teknikal ini seterusnya mensasarkan untuk beraksi cemerlang di pentas dunia pula pada masa akan datang,” ujarnya yang bertindak sebagai penyelia kumpulan itu.

SiswaSAT 2020 mengenengahkan sebanyak 22 pasukan dari kalangan rangkaian institusi pengajian tinggi dari seluruh negara dalam pembinaan model satelit berskala nano yang boleh beroperasi seperti satelit sebenar. – MalaysiaGazette