Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

PETALING JAYA – Seorang pengarah sebuah syarikat mengalami kerugian sebanyak RM1.28 juta apabila menjadi mangsa penipuan pembelian sarung tangan getah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa yang berusia 28 tahun bersetuju membeli 39,000 kotak Nitrile Glove yang mana ejenya telah pergi memeriksa stok pembelian dengan berjumpa seorang wanita yang merupakan pemilik syarikat terbabit.

Katanya, wanita berkenaan merupakan suspek utama yang dicari polis.

“Stok sarung tangan Nitrile Glove tersebut telah ditandakan dengan nama syarikat mangsa dan setelah pengesahan dibuat, pada hari berikutnya iaitu 9 September 2020 mangsa telah membuat dua kali pembayaran ke dalam akaun bank milik suspek wanita itu.

“Suspek pula mengatakan bahawa dia akan terus menghantar produk sarung tangan yang ditempah itu ke syarikat mangsa malangnya stok sarung tangan Nitrile Glove itu tidak diterima oleh mangsa seperti yang dijanjikan suspek atas alasan stok tersebut telah dijual kepada syarikat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Nik Ezanee, pada 13 September lalu, suspek menerusi surat perjanjian berjanji memulangkan wang mangsa dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, bagi meyakinkan mangsa, suspek telah memberi gambar palsu sebagai bukti transaksi pembayaran balik wang kepada mangsa.

Kata beliau, pada 13 Oktober lalu supek telah menyerahkan cek kepada mangsa bagi meyakinkannya bahawa dia telah membuat bayaran balik wang pembelian sarung tangan tetapi cek itu dikesan palsu.

“Maka pengadu (mangsa) yang berasa dirinya ditipu oleh suspek wanita itu telah melaporkan kejadian kepada polis di IPD Petaing Jaya.

“Bertindak atas maklumat pada 27 Oktober lalu jam 10.30 malam mangsa bersama sepasukan polis risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Petalng Jaya pergi ke pekarangan pejabat suspek di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur untuk mengesan suspek.

“Setelah beberapa minit hasil pemerhatian di premis itu, berjaya menangkap empat wanita dan dua lelaki kesemuanya warga tempatan berumur antara 20 hingga 45 tahun bersabit kes yang disiasat,” tegas beliau.

Ujar Nik Ezanee, semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek wanita berusia 30-an masih dikehendaki bersabit empat laporan lain di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek direman empat hari dan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

“Polis dalam tangkapan itu berjaya merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh buah fail milik syarikat yang mengandungi pelbagai dokumen, sebuah komputer dan cop-cop milik syarikat itu yang disyaki digunakan dalam kes penipuan itu untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette