KUALA LUMPUR – Terengganu Football Club (TFC) telah melantik individu yang cukup arif dalam kancah bola sepak di Terengganu, Ab Rasid Jusoh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut.

Pengumuman itu dibuat laman Facebook rasmi TFC.

Beliau merupakan lepasan Sarjana Pengurusan Sukan, Curtin University Perth, Australia dan turut pernah bergelar CEO bagi pasukan T-Team bermula tahun 2013 hingga 2016.

Ab Rasid juga bukanlah individu asing dalam bola sepak di Terengganu apabila mula bertindak selaku Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) selama dua tahun (2006 hingga 2008) serta Naib Presiden pada 2015 hingga 2017.

Selain itu, beliau juga merupakan bekas pemain Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan turut pernah merasai pengalaman beraksi di pentas Kejohanan Universiti Asian 1992.

Dalam pada itu, Ab Rasid tanpa berselindung mengakui bahawa tanggungjawab baharu yang bakal digalas itu sememangnya bukanlah tugas mudah untuk dilaksanakan.

”Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan ianya merupakan tanggungjawab yang besar perlu dipikul bagi menerajui Terengganu Football Club Sdn Bhd ini.”

Dalam perkembangan sama, Terengganu Football Club Sdn Bhd turut melantik Mohd Sabri bin Abas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO). – MalaysiaGazette