Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen parti lain diseru bersama UMNO untuk memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 dengan semangat keikhlasan yang sama bagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan terutamanya dalam senario pandemik Covid-19 yang masih menular pantas.

Sokongan ini, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara.

Menurutnya, kebijaksanaan baginda dalam bertitah agar semua ahli politik bersatu untuk meluluskan Belanjawan 2021 menunjukkan bahawa institusi raja sentiasa mengutamakan denyut nadi rakyat.

”Atas kesedaran tersebut jugalah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO pada hari Isnin telah memutuskan agar semua Ahli Parlimen UMNO memberikan sokongan kepada kerajaan selaras dengan titah Tuanku untuk meredakan suhu politik,” katanya dalam hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette