Pengerusi Kesatuan Sekerja Anulae Cawangan Pekerja DBKL, Mohd Zaki Ahmad hadir pada sidang media di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Langkah Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mahu melakukan proses nyahkuman di semua tempat awam di sekitar ibu kota merupakan satu tindakan tepat dalam usaha memastikan wabak Covid-19 dapat dikawal penularannya di ibu negara.

Pengerusi Kesatuan Sekerja Anulae Cawangan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Zaki Ahmad berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Datuk Mahadi Che Ngah apabila mahu menambah kekuatan kakitangan bagi tujuan itu yang melibatkan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam termasuk semua kuarters DBKL.

“Kami mewakili kakitangan semua peringkat dalam DBKL menyokong penuh serta percaya bahawa Datuk Mahadi selama 30 hari bertugas di dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat memimpin serta menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit di dalam wilayah yang dicintai ini.

“Majlis Bersama Jabatan (MBJ) DBKL sentiasa mengambil berat hal keselamatan kakitangan di semua peringkat dan akan turut terlibat bagi memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerja di DBKL bagi meyahut seruan kerajaan mengamalkan keselamatan di tempat kerja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kewujudan MBJ merupakan platform dua hala antara pihak pekerja dan pihak pengurusan yang bakal memainkan peranan bagi memperolehi kerjasama menyeluruh diantara pihak pegawai dan pekerja di dalam organisasi.

Katanya, pekerja diberi peluang untuk mengemukakan pendapat dan menyelesaikan isu berkaitan kerja, urusan pentadbiran, kebajikan pekerja dan perjalanan organisasi sesebuah jabatan.

Tambahnya, MBJ juga berperanan membantu pihak pengurusan dalam menyelesaikan isu-isu dalaman yang dihadapi oleh warga kerja DBKL merangkumi semua perkara berkaitan syarat perkhidmatam dan perjalanan oragnisasi yang ada hubung kait dengan pentadbiran.

Selain itu katanya, MBJ turut bertindak sebagai pemudahcara antara kakitangan dan pihak pengurusan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi secara amanah dan berdedikasi. – MalaysiaGazette