Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peniaga atau mereka yang tidak mempunyai majikan dinasihatkan memohon surat kebenaran daripada pihak polis untuk merentas negeri di kawasan yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Kluster Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan mereka diberi kebenaran untuk melakukan rentas negeri di setiap sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan oleh polis.

“Bagi permudahkan urusan mereka, saya nasihatkan ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran pelepasan perjalanan.

“Saya faham mereka (khususnya penjaja) tidak mempunyai majikan, maka pergi ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran. Dengan cara itu, mereka boleh melepasi SJR,” katanya pada sidang media harian PKPB hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan ada penjaja dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 ketika melalui sekatan perjalanan untuk ke tempat berniaga kerana tidak memiliki surat kebenaran untuk merentas.

Ismail Sabri berkata, prosedur juga boleh digunakan untuk mereka yang tidak mempunyai majikan namun terpaksa melakukan urusan harian seperti menjalankan perniagaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ismail Sabri berkata, kerajaan akan menilai kehidupan penduduk di Pulau Omadal di Sabah yang didakwa tidak boleh menjalankan aktiviti ekonomi ketika PKPB dilaksanakan.

Katanya, ketika ini, pulau berkenaan tidak termasuk dalam kawasan di bawah Perintah Kawalan pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan aktiviti ekonomi boleh dijalankan seperti biasa.

“Pulau Omadal tidak termasuk dalam enam lokaliti PKPD di daerah Semporna dan aktiviti ekonomi terbuka seperti biasa, disebabkan itulah pihak kerajaan tidak menghantar makanan ke sana.

“Situasi berbeza dengan kawasan PKPD yang diberi serta dihantar makanan oleh kerajaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Namun saya akan merujuk kepada jawatankuasa Pusat Pengurusan Bencana Negeri Sabah untuk melihat keadaan itu. Mungkin ada penduduk yang berada dalam kategori terlalu miskin dan memerlukan bantuan makanan,” ujarnya.

Sebelum ini, wujud dakwaan penduduk di Pulau Omadal mengalami kesusahan dan tidak mendapat bekalan makanan ketika Sabah diletakkan dalam PKPB sejak beberapa minggu lalu. – MalaysiaGazette