Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Seorang wanita yang disahkan positif selepas hari ke-18 selepas pulang dari Labuan tidak memaklumkan kepada petugas kesihatan beliau mengalami gejala ringan pada hari ke-11.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada hari pertama ujian dan hari ke-10, keputusan wanita itu didapati negatif.

Beliau berkata, kes 30,811 itu telah  dilepaskan daripada kuarantin pada hari ke-14.

“Wanita berkenaan pulang dari Labuan pada 10 Oktober lalu dan mengambil ujian calitan hari pertama dan ke-10 dan kedua-dua adalah negatif.

“Apabila wanita ini didapati bergejala pada hari ke-18, dia diuji semula dan didapati positif. Siasatan mendapati pada hari ke-11, wanita ini mempunyai gejala tetapi tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan yang pulang dari Labuan dan hanya didapati positif Covid-19 pada hari ke-18.

Noor Hisham menambah, Malaysia belum pernah merekodkan tempoh inkubasi melebihi 14 hari walaupun ia pernah dilaporkan di luar negara.

Beliau berkata sebaliknya, kebanyakan kes Covid-19 dikesan pada hari ketujuh, kelapan dan sehingga hari ke-13.

“Tetapi tempoh (inkubasi) untuk 21 hari tidak pernah lagi dilaporkan,” katanya.

Noor Hisham turut memberitahu, dalam kes pengembara atau pemastautin tetap yang pulang dari luar negara, 75 peratus daripada 1,181 kes disahkan mendapat jangkitan pada hari pertama ujian dilakukan terhadap mereka manakala 25 peratus lagi dikesan positif pada hari ke-13.

Menurutnya, mana-mana kes yang didapati positif pada hari ke-13, mereka perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari lagi. – MalaysiaGazette