Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) memberi sokongan penuh kepada cadangan banyak pihak agar pencarum dibenarkan mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Walaupun kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk tidak membenarkan pengeluarannya, namun PKPB mengingatkan bahawa golongan pekerja berkemahiran di sektor perkilangan amat terkesan dengan situasi semasa kerana kekurangan kerja lebih masa yang selama ini adalah sumber pendapatan sokongan kepada pendapatan tetap mereka.

Ini lebih memburukkan lagi keadaan apabila ramai dalam kalangan tenaga separuh mahir ke bawah telah kehilangan pekerjaan akibat penutupan dan pengecilan operasi kilang di negara ini.

Setiausaha Agung PKPB, Mohd Rizan Hassan berkata, terdapat juga kilang yang melalui proses pemulihan dari kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula menggunakan automasi industri sepenuhnya yang memungkinkan tenaga kerja sedia ada bakal kehilangan pekerjaan mereka tidak lama lagi.

Menurutnya, PKPB amat menghargai segala usaha yang kerajaan  seperti perlaksanaan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (PENJANA), namun hasilnya bukanlah dapat dilihat dalam masa yang singkat.

Sebaliknya, ianya lebih kepada suatu sokongan sosial untuk menceburi bidang kerjaya baharu atau pun peningkatan kemahiran sedia ada.

Justeru, katanya, kelonggaran pengeluaran wang KWSP Akaun 1 setidak-tidaknya dapat meringankan bebanan yang sedang ditanggung, di samping memberi sedikit motivasi kepada pencarum agar merancang sesuatu untuk kelangsungan kehidupan mereka. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.