Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Dalam kenyataannya, BNM berkata, pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

Pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif pada tahun ini akan terus merangsang ekonomi.

Katanya, MPC akan terus menilai keadaan yang sentiasa berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan.

“Bank Negara Malaysia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” katanya.

Bank Pusat itu menambah, bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi meningkat dengan ketara pada suku ketiga. Pengenalan langkah-langkah bersasar untuk membendung Covid-19 di beberapa negeri boleh menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan bagi tahun 2020 dijangka berada dalam julat unjuran sebelum ini.

Bagi tahun 2021, kegiatan ekonomi diunjurkan semakin bertambah baik, peningkatan ini akan didorong oleh permintaan global yang semakin pulih, perbelanjaan sektor swasta dan awam yang kembali pulih dalam keadaan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar, dan pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada dan baharu.

Walaupun begitu, kadar pemulihan ini dijangka tidak sekata merentas sektor, dengan kegiatan ekonomi dalam beberapa industri terus berada di bawah paras sebelum pandemik dan peningkatan yang lebih perlahan dalam pasaran pekerja.

Risiko pertumbuhan yang rendah masih wujud, berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan berhubung dengan pandemik pada peringkat global dan dalam negeri.

Sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun 2020 memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah.

Bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi, bagaimanapun, prospek akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia.

Inflasi asas dijangka kekal rendah pada tahun 2021 dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

Menurut BNM, Ekonomi global terus pulih, didorong oleh pemulihan dalam aktiviti perkilangan dan eksport.

Berdasarkan penunjuk terkini, kegiatan ekonomi meningkat dalam kebanyakan ekonomi maju dan serantau, dengan momentum pemulihan yang lebih ketara di China, namun penularan semula kes Covid-19 baru-baru ini telah menyebabkan beberapa ekonomi utama melaksanakan semula langkah-langkah pembendungan meskipun pada amnya lebih longgar berbanding sebelum ini.

Hal ini menggambarkan bahawa pemulihan ekonomi global akan kekal tidak sekata dalam tempoh terdekat.

Ujarnya, keadaan kewangan telah bertambah baik walaupun aktiviti penghindaran risiko kekal ketara.

Prospek keseluruhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh risiko penularan semula jangkitan Covid-19 yang boleh menyebabkan keadaan perniagaan, pekerjaan dan pendapatan menjadi lebih lemah.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa mesyuarat hari ini meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2021.

Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun.

Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada jam 3 petang pada hari kedua mesyuarat MPC. – MalaysiaGazette