Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kalau sektor swasta mahu wang caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan, penjawat awam pula berharap pengeluaran simpanan dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dipertimbangkan untuk dikeluarkan dalam Belanjawan 2021.

Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan Kumpulan Pelaksanaan Sektor Awam, Datuk Azih Muda berkata, jumlah yang diminta  tidak banyak – hanya 10% hingga 20% sahaja bagi meringankan beban yang ditanggung oleh penjawat-penjawat awam yang dalam kategori B40 dan M40.

Menurut beliau, penjawat-penjawat awam yang berpendapatan rendah memerlukan bantuan tunai ini kerana sebelum pandemik Covid-19 kebanyakan mereka melakukan dua atau tiga kerja bagi menampung kehidupan – sama ada menjadi pemandu teksi, berniaga kecil-kecilan dan sebagainya.

“Golongan pekerja bawahan ini dan isteri mereka terpaksa mencari duit lebih memandangkan gaji sektor awam kecil untuk menampung keperluan keluarga.

“Tetapi apabila berlaku pandemik ini, pendapatan sampingan terjejas, sekali gus menjejaskan kehidupan mereka terutama yang tinggal di bandar.

“Kita pun bukan minta banyak, sekurang-kurangnya 10% daripada simpanan yang ada,” katanya pada MalaysiaGazette.

Azih berkata, seandainya cadangan itu tidak dapat dipertimbangkan, kerajaan diminta memberi bonus sebulan gaji dan meneruskan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Dengan adanya bantuan kewangan buat golongan B40 dan M40, dapatlah mereka berbelanja dan menyediakan keperluan makan dan minum cukup serta persekolahan untuk tahun depan.

Beliau berkata, wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini sebenarnya menjejaskan kehidupan seluruh rakyat Malaysia termasuk golongan T20.

Oleh itu, pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini memberi harapan tinggi kepada rakyat agar tiada golongan pun yang tersisih daripada mendapat faedahnya.

“Bukan sahaja 800,000 penganggur tetapi peniaga yang terjejas teruk dan hampir bankrap serta isi rumah hilang mata pencarian dan pendapatan turut menantikan khabar baik.

“Disebabkan itu, besar harapan saya kerajaan mempertimbangkan semua keperluan rakyat tanpa meminggirkan sesiapa pun dalam Belanjawan 2021 ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azih turut menaruh harapan agar kerajaan dapat meningkatkan sistem capaian Internet bagi membolehkan rakyat di negara ini dapat menjalani norma-norma baharu ketika berdepan dengan Covid-19.

Jelasnya, peningkatan capaian itu penting kerana pekerja-pekerja kini bekerja dari rumah, pelajar-pelajar juga mengikut pembelajaran dari rumah.

Selain itu turut membeli-belah dari rumah, sebagai mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuatkuasa.

“Tetapi masalahnya bagaimana pekerja mampu menjadi produktif sekiranya capaian Internet lemah, kawasan-kawasan tertentu hendak dapat line pun susah.

“Jadi, kita harap Belanjawan 2021 ini menjadi pemangkin kepada peningkatan akses Internet buat semua,” ujarnya – MalaysiaGazette