Prof. Madya Ir. Dr. Norhashila menerangkan kaedah menyalut betik menggunakan madu kelulut.

KUALA LUMPURSekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan penyalut edibel daripada madu kelulut untuk kawalan penyakit Antraknos (kulat pasca tuai) bagi pelbagai hasil pertanian, termasuk betik.

Madu kelulut itu diformulasikan kepada bentuk serbuk sebelum digunakan. Sepuluh gram madu kelulut akan menghasilkan juga 10 gm serbuk, yang boleh digunakan untuk 100 biji betik.

Buah betik dicelup ke dalam larutan madu kelulut itu untuk disalut.

Selain kawalan penyakit, ia memanjangkan tempoh kesegaran dan hayat betik antara 14 dan 21 hari dari hari tuaian, yang akan memudahkan lagi bagi pengeksportan.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Madya Ir. Dr. Norhashila Hashim berkata, pihaknya menguji madu kelulut dari Malaysia pada kepekatan yang berbeza, dan mendapati ia mempunyai potensi merencat atau membantutkan pertumbuhan miselium Colletotrichum sp. 

Colletotrichum sp. adalah kulat yang boleh menyebabkan penyakit Antraknos yang merosakkan kualiti hasil pertanian seperti betik, manga, cili dan seumpamanya.

Madu kelulut dalam bentuk asal serta yang telah diformulasikan kepada bentuk serbuk diletakkan dalam bekas khas, dan gambar betik yang telah disalut dengan penyalut edibel daripada madu kelulut.

Beliau berkata, imbasan menggunakan mikroskop pengimbas elektron menunjukkan terdapat kemusnahan spora dan degradasi hifa kulat yang dirawat dengan larutan madu kelulut berkepekatan 15 peratus.

“Kami juga mengesan madu kelulut mengandungi beberapa sebatian fenolik (asid galik, asid coumarik, asid ferulik dan asid salistik) dan sebatian flavonoid (naringenin dan kaempferol) yang menyumbang kepada ciri-ciri antikulat.

“Oleh itu fungsinya sebagai penyalut hasil pertanian adalah lebih efisyen,” katanya.

Menurutnya, betik dipilih bagi penyelidikan untuk mengetahui fungsi madu kelulut sebagai penyalut yang edibel kerana ciri-ciri fizikokimia selain ciri klimaterik buah.

Ia mempunyai hayat simpanan yang pendek disebabkan corak peranuman klimaterik dan ancaman mudah rosak selepas tuai, dan oleh itu memberi impak penyelidikan yang lebih jelas.

Prof. Madya Ir. Dr. Norhashila yang juga Ketua Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Fakulti Kejuruteraan UPM berkata, buah betik yang telah dicelup ke dalam larutan madu kelulut disimpan pada suhu 12 ± 1 darjah Celsius selama 12 hari.

“Hasil kajian mendapati sampel betik yang disalut dengan madu kelulut pada kepekatan 1.5 peratus telah mengekalkan kesegaran, warna serta kandungan bahan pepejal terlarut.

“Berat segar, kadar respirasi sampel dan penghasilan etilina betik juga menurun sepanjang tempoh penyimpanan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, madu kelulut berkebolehan meningkatkan kualiti betik selepas dituai serta memanjangkan tempoh hayat simpanannya.

Beliau berkata, pihaknya telah menerbitkan satu penemuan di Elsevier: Journal of Materials Research and Technology bahawa madu kelulut berpotensi dalam penghasilan kalsium oksida bersaiz nano.

Nanopartikel itu diperolehi daripada bio-sintesis melalui kaedah endapan dan pemendakan kalsium karbonat dalam madu kelulut. Nanopartikel yang terhasil secara bio-sintesis mempunyai kesan perencatan yang maksimum terhadap penyakit antraknos.

“Melalui pembuktian ujian kesitotoksikan terhadap sel MRC 5 dan sel Vero, nanopartikel ini didapati tidak bersifat toksik kepada manusia. Oleh itu, ia selamat dan edibel,” katanya.

Beliau berkata, kajian itu menawarkan pendekatan yang selamat dalam penyediaan nanopartikel dengan menggunakan madu kelulut untuk digunakan dalam pelbagai aplikasi bidang pertanian dan makanan,” katanya.

Menurutnya, selama ini penyalutan buah betik banyak menggunakan bahan kimia, yang dalam jangka panjang boleh memudaratkan kesihatan.

Inovasi itu memenangi pingat emas pada UNIMAS Innovation and Technology Exposition, di Kuching, Sarawak pada 2019 dan pingat gangsa pada pameran peringkat Fakulti Kejuruteraan UPM 2019.

Penyelidikan bermula pada 2017 dan tamat pada 2019. Selain beliau, lima lagi ahli kumpulan penyelidik itu ialah Dr. Bernard Maringgal, Dr. Intan Syafinaz Mohamed Amin Tawakkal, Dr. Muhammad Hazwan Hamzah, Prof. Dr. Mahmud Tengku Muda Mohamed dan Azri Shahir Rozman. – MalaysiaGazette