KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 bertujuan mencapai keseimbangan antara menangani keperluan utama rakyat dan perniagaan, meletakkan asas untuk pemulihan mampan dan memenuhi aspirasi jangka masa panjang.

Memandangkan tahun 2021 merupakan tahun pertama RMKe-12, langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 akan menyokong matlamat utama rancangan ini.

Tinjauan Ekonomi 2021 melaporkan belanjawan ini memberi penekanan kepada empat bidang utama iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Menjaga kebajikan rakyat

Usaha akan diselaraskan untuk menangani isu pekerjaan, meningkatkan jaringan keselamatan sosial dan memperkukuhkan modal insan.

Tumpuan akan diberikan kepada program latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi membolehkan rakyat mencapai ekonomi lebih baik.

Ini termasuk menyediakan program latihan bersepadu dan menambah baik kursus-kursus sedia ada dan cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Kerajaan akan terus memberi fokus menangani keperluan kumpulan B40 dengan mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial Malaysia.

Memacu pertumbuhan

Tumpuan akan diberikan kepada meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan produktiviti serta mengembalikan semula keyakinan pengguna.

Kerajaan akan memberikan keutamaan kepada bidang penting seperti memudahkan proses menjalankan perniagaan, meningkatan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam sektor awam dan swasta.

Melestarikan kehidupan

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan akan menggalakkan perubahan sikap dalam kalangan rakyat dan perniagaan ke arah pengurusan alam sekitar dan biodiversiti yang lebih baik.

Belanjawan 2021 akan diselaraskan dengan RMKe-12 daripada segi peruntukan untuk pembangunan mampan.

Mulai 2021 kerajaan akan memfokuskan kepada pemetaan keperluan pembiayaan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Memantapkan penyampaian perkhidmatan awam

Belanjawan akan memberi tumpuan kepada memperkukuh mekanisme penyampaian sedia ada dalam memastikan semua bantuan dan insentif memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

Bagi tujuan ini, Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi antara Agensi Nasional (Laksana) ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan inisiatif yang diumumkan menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi. – MalaysiaGazette