Penghantar makanan Food Panda, Mohd Hafize Othman (kiri) bersama Mohd Shahrill Badrillah (tengah) dan Amirul Adnan (kanan) mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Azizi menerusi telefon pintar ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Bagi tahun 2021, tempoh elaun mencari kerja akan dilanjutkan selama tiga bulan.

Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kadar layak menuntut daripada 80 peratus gaji bagi bulan pertama, 50 peratus bagi bulan kedua hingga keenam dan seterusnya 30 peratus bagi tiga bulan terakhir.

Menteri Kewangan menambah, sebanyak RM180 juta akan disediakan dan dijangka dimanfaatkan sehingga 130,000 orang pencari kerja.

“Bagi membantu mereka yang telah hilang pekerjaan akibat keadaan ekonomi terjejas susulan Covid-19, bagi tempoh dua tahun taksiran, had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan atas kehilangan pekerjaan akan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000 setiap tahun genap perkhidmatan.

Menurutnya, bagi tahun 2021, kerajaan menyediakan hampir RM28 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif.

Antaranya ialah bantuan pengangkutan dan kebajikan serta subsidi bagi mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Kerajaan akan menaikkan peruntukan daripada RM150 juta kepada RM200 juta untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang PErlu, LPG dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaan ke 34 kawasan baharu, antaranya di Pulau Sakar di Sabah dan Ulu Mujok di Sarawak.

Melalui inisiatif ini barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas, LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati lebih 1.1 juta rakyat. – MalaysiaGazette