KUALA LUMPUR -Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM) melahirkan harapan tinggi pembentangan Belanjawan 2021 jam empat petang ini akan membawa makna cukup besar kepada keseluruhan rakyat di negara ini.

Menurut Presidennya, Shanmugam Ramiah kepada MalaysiaGazette sebentar tadi, hakikatnya belanjawan kali sememangnya sesuatu yang begitu dinanti-nantikan oleh umum tidak apa jua latar belakang mereka kerana semua sedang menderita berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan kini perlu menumpukan terutamanya untuk menjaga kepentingan rakyat, memacu ekonomi, menyediakan kehidupan yang mampan serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

Kini sudah tiba masa untuk kerajaan agar lebih konsisten dalam menangani perkara penting seperti melindungi pekerjaan, membentuk lebih banyk peluang pekerjaan selain melindungi kesejahteraan rakyat.

“Semua terjejas, semua golongan sebenarnya. Umumnya semua sedang terjejas teruk kerana ekonomi semakin merudum, bukan sahaja di Malaysia sebaliknya seluruh dunia.

“Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas, lagi ramai semakin tersepit, terjejas. Hilang kerja, bankrap dan segala macam isu termasuklah kesusahan mendapat sesuap nasi semakin ketara.

“Semoga apa yang bakal dibentangkan kepada kita hari ini dalam Belanjawan 2021 ini akan memberi kelegaan kepada semua, KKIM amat yakin dan menaruh kepercayaan penuh terhadap Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pastinya beliau amat faham nadi serta penderitaan rakyat kita, keluhan serta kebimbangan yang diluahkan saban hari akibat kesempitan dan desakan hidup pastinya akan di ambil perhatian olehnya,” katanya sebentar tadi.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz akan membentangkan Belanjawan 2021 pada jam 4 petang ini di Parlimen.

Tengku Zafrul dalam hantaran di media sosialnya pagi ini berkata, ini kali pertama beliau memimpin Kementerian Kewangan dalam membentangkan Belanjawan Negara.

“Jadi saya dengan rendah diri memohon agar kalian mendoakan kejayaan kami,” kata Tengku Zafrul.

Shanmugam juga berharap inisiatif-inisiatif yang lebih terhadap golongan seperti B40 dan M40, golongan muda, pelajar, penganggur serta peniaga kecil terutamanya mendapat perhatian yang lebih.

“Kami mengharap inisiatif-inisiatif terutamanya golongan B40 dan anak-anak muda akan diberi pandangan serius dan berharap Perdana Menteri dengar keluhan rakyat yang telah hilang mata pencarian ketika ini.

“Antara permintaan kami termasuklah lanjutan moratorium sehingga sekurang-kurangnya Jun 2021, institusi kewangan boleh kurangkan kadar faedah serta kelonggaran untuk peminjam membuat pinjaman.

“Perniaga diberi segala bantuan dengan mengurangkan kadar faedah yang minimum atau ‘tax free’ sehingga bulan Jun 2021, juga perhatian untuk sektor pendidikan, kolej dan universiti, seharusnya mengurangkan beban setiap pelajar dengan mengelakkan fi seperti tuisyen dan pelajaran.

“Mohon juga pertimbangan pengeluaran KWSP dari Akaun 1,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast