Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk membuat semakan semula sejauh mana Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berupaya memberi pulangan ekonomi kepada rakyat sebelum peruntukan berganda yang amat besar iaitu RM81.5 juta di bawah Belanjawan 2021 diberikan.

Dokumen Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan menyatakan sejumlah RM81.5492 juta diperuntukkan bagi program perluasan JASA.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihak menggesa agar kerajaan bersikap telus dengan membentangkan kepada rakyat pihak mana yang mendapat manfaat daripada RM81.5 juta ini dan apa Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan bagi peruntukan sebanyak itu.

Dalam pada itu, ABIM yang menyambut baik program membantu rakyat seperti kepelbagaian insentif yang diberikan kepada golongan B40, namun dasar fiskal kerajaan dalam Belanjawan 2021 masih belum jelas membantu rakyat yang memasuki fasa pemulihan untuk menyusun semula dan menstabilkan kewangan.

Sebagai contoh, moratorium penuh yang tidak dilanjutkan hingga Mac 2021 sedangkan trend himpitan ekonomi serta pengangguran berada di paras yang sama.

Sejak Mac 2020 peratus pengangguran mencatatkan 3.9% dengan jumlah 610,000 penganggur diikuti April 2020, 5.0% (778,800) seterusnya Ogos 2020 – 4.9% dan September 2020 – 4.7% (745,800).

Dalam pada itu, permintaan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun 1 juga jelas menunjukkan paras kesempitan hidup rakyat masih tidak berubah.

Oleh itu menerusi lanjutan moratorium penuh ini dilihat akan membantu segenap lapisan rakyat menjangkau B40 termasuk M40 yang sememangnya terkesan untuk menyusun semula dan memstabilkan kondisi kewangan masing-masing memasuki fasa pemulihan kewangan, kata Muhammad Faisal. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hang tak payah kalut lah… Suruh nuaq tanya kat Parlimen. Nama saja NGO Islam… Cuba2 lah berprasangka baik… Jangan cuma jadi anjing suruhan

Comments are closed.