Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam sebagai memenuhi tuntutan prinsip Maqasid Syariah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, belanjawan itu keseluruhannya bersifat menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dan keadaan negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Kata beliau, sikap prihatin kerajaan terbukti apabila memberi pengiktirafan terhadap usaha memartabatkan syiar Islam dengan memperuntukkan kira-kira RM1.4 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Peruntukan itu, katanya, bertambah RM100 juta berbanding tahun 2020.

“Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada kerajaan atas Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan Menteri Kewangan di Parlimen semalam.

“Dalam keadaaan negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, kerajaan telah mengemukakan belanjawan yang mantap dan mampu memacu kemajuan negara menjelang tahun 2021, di mana sektor ekonomi paling banyak terkesan dengan penularan Covid-19.

“Jakim amat menghargai sentuhan Belanjawan 2021 yang jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya dalam kenyataan reaksi berhubung Belanjawan 2021 hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul dalam pembentangan Belanjawan 2021 memaklumkan kerajaan menerusi Hal Ehwal Agama akan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional bagi memastikan pengurusan wakaf lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan.

Beliau dilaporkan berkata, ia akan dilaksana melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Katanya, pembangunan Islam akan terus diperkukuh dan dana bernilai RM1.4 bilion diperuntukan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata, seperti biasa, peruntukan itu akan turut dinikmati bersama pihak pengurusan hal ehwal Islam di negeri-negeri apabila ia akan memberi manfaat kepada 4,000 Guru Takmir, 35,000 Guru KAFA, 14,373 Imam dan 15,766 Bilal, Noja, Siak dan Marbut.

Sebagai contoh, katanya, Guru Takmir akan menerima kenaikan kadar elaun daripada RM800 kepada RM900 sebulan, manakala Imam, Bilal, Siak, Noja, Merbut, Guru Takmir dan Guru KAFA akan turut menerima bayaran khas one-off sebanyak RM500.

Selain itu, dari peruntukan RM1.4 bilion bajet pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, pada tahun ini juga akan memberi tumpuan bagi memperkasakan pengurusan wakaf menerusi Yayasan Waqaf Malaysia melalui pembangunan Pelan Induk Wakaf Nasional dengan kerjasama agensiagensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“JAKIM juga merasa syukur atas inisiatif kerajaan dengan menyediakan caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO kepada Guru Takmir, Imam, Bilal, Siak, Noja dan Merbut.

“Kita juga menghargai pengumuman inisiatif Pendidikan Islam dan Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada kira-kira 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.