Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai empat jemaah tabligh yang selesai menjalani proses perbicaraan di Buxar, India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.40 petang semalam.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata dengan kepulangan empat individu itu yang menaiki penerbangan Air India Express dari New Delhi, India, kementerian telah membawa pulang seramai 180 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India.

“Masih terdapat seramai sembilan ahli jemaah tabligh di India yang sedang menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.

“Kementerian Luar menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang baki sembilan ahli jemaah tabligh itu sejurus selepas pembebasan mereka kelak,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, seramai 176 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos, 18 Sept, 9, 14, 23 dan 30 Okt 2020.

Kamarudin berkata semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas kerjasama dalam menjayakan misi ini serta ucapan terima kasih kepada kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan rakyat Malaysia.

— BERNAMA