Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan majikan dan orang ramai untuk berurusan atau menjalani saringan Covid-19 dengan penyedia perkhidmatan yang mematuhi ketetapan syarat dan garis panduan oleh kementerian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin dan kualiti perkhidmatan yang diberikan tidak dikompromi.

“KKM memuji inisiatif majikan yang mengambil inisiatif menjalankan saringan bagi pekerja mereka.

“Namun KKM ingin meminta kerjasama majikan dan orang ramai untuk memastikan bahawa mereka hanya berurusan dengan penyedia perkhidmatan saringan COVID-19 yang mematuhi ketetapan syarat dan garis panduan KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, senarai kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta yang menawarkan perkhidmatan saringan COVID-19 boleh dirujuk di laman sesawang KKM, laman sesawang Bahagian Amalan Perubatan http://medicalprac.moh.gov.my/v2/ serta dalam aplikasi MySejahtera. – MalaysiaGazette