SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan kerajaan kerana di sebalik beban menangani pandemik Covid-19, pembangunan sektor pengangkutan dan logistik tidak diabaikan. Ini menunjukkan kematangan kerajaan dalam mengiktiraf peranan sektor pengangkutan dan logistik dalam menjamin kesejahteraan rakyat, terutamanya di dalam situasi yang tidak menentu sekarang ini.
1. Perkara pertama yang paling menarik perhatian saya ialah tiadanya pengumuman peruntukan kewangan bagi menyelamat industri penerbangan awam negara yang dilanda masalah kewangan akibat dari kekangan perjalanan udara.
2. Secara umumnya, Bajet 2021 merangkumi 3 strategi utama bagi sektor pengangkutan dan logistik:
a. Meningkatkan kemahiran dan kepakaran pekerja sektor pengangkutan dan logistik;
b. Memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam;
c. Menjadikan sistem pengangkutan dan logistik sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi, integrasi nasional dan peningkatan daya saing negara
3. Strategi 1 – Meningkatkan kemahiran dan kepakaran pekerja sektor pengangkutan dan logistik
Terdapat tumpuan yang mendalam dalam meningkatkan kemahiran profesional pekerja di pelbagai industri. Industri logistik dan pengangkutan perlu memanfaatkan peluang yang disediakan ini:
a. Inisiatif program latihan di bawah program PenjanaKerjaya akan memanfaatkan industri pengangkutan dan logistik secara langsung apabila majikan layak menuntut kos latihan yang lebih tinggi dari RM4000 kepada RM7000 bagi melatih pekerja mereka untuk mendapat kemahiran yang lebih tinggi atau sijil profesional. Badan profesional industri pengangkutan dan logistik di Malaysia iaitu The Chartered Institute of Logistics and Transport in Malaysia (CILTM)(http://www.cilt.org.my) perlu mengambil peluang dari kesungguhan kerajaan dengan menyediakan lebih banyak program persijilan profesional bagi pekerja-pekerja industri ini;
b. Perkara yang sama juga perlu diambil perhatian oleh universiti awam dan swasta di bawah KPT untuk menawarkan program Persijilan profesional bagi industri logistik dan pengangkutan di bawah program KPT-PACE yang melibatkan peruntukan RM1
bilion untuk reskilling dan upskilling pekerja di industri logistik dan pengangkutan ini.
4. Strategi 2 – Memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam
a. Program Subsidi Upah dapat meringankan beban operator pengangkutan awam yang mengalami penurunan mendadak penumpang (dan seterusnya hasil kutipan tambang/tiket perjalanan) akibat dari langkah menghadkan perjalanan dan arahan bekerja dari rumah (WFH);
b. Sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang dan Kuantan mendapat suntikan secara tidak langsung melalui perluasan liputan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 ke kedua-dua bandar ini yang melibatkan peruntukan RM300 juta. Dengan inisiatif My30 ini, kerajaan mengambil pendekatan strategik tidak menyuntik dana secara terus kepada pengusaha pengangkutan awam tetapi sebaliknya menyalurkannya kepada masyarakat melalui subsidi kos perjalanan. Subsidi ini berupaya menggalakkan lebih ramai golongan masyarakat beralih dari menggunakan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam bagi perjalanan mereka;
c. Sistem Pengangkutan Awam terus mendapat perhatian dengan memperluaskan program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti ke bandar JB, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan dengan peruntukan RM150 juta;
d. Pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara yang dilanjutkan bagi tempoh dua tahun 1 Januari 2021 – 31 Disember 2022. Ini akan menggalakkan lagi operator pengangkutan awam menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien, selesa, selamat dan berkualiti kepada masyarakat dan seterusnya menarik minat masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
5. Strategi 3 – Menjadikan sistem pengangkutan dan logistik sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi, integrasi nasional dan peningkatan daya saing negara.
a. Peruntukan RM1.3 bilion untuk projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 920 km akan dapat merapatkan lagi jurang sosioekonomi penduduk luar bandar dengan penduduk bandar. Ini dapat mengurangkan kadar penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar dan seterusnya mengurangkan tekanan pembangunan di kawasan bandar. Peruntukan ini juga mampu memperluaskan lagi peluang industri desa untuk memasarkan produk mereka ke bandar dengan lebih cepat dan pada kos yang lebih rendah;
b. Peruntukan bagi sistem MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia) akan meningkatkan kebolehupayaan sistem ini sebagai sumber utama perancangan pembangunan luar bandar melalui pemantauan kualiti sistem jaringan jalan raya luar bandar yang lebih efisien dan mampan;
c. Kos perjalanan pelajar sekolah serta golongan OKU juga mendapat perhatian dalam Bajet 2021 ini apabila kos perjalanan bulanan golongan ini tidak akan melebihi RM5 sebulan bagi semua perjalanan menggunakan pengangkutan rel awam (KTM) Komuter Lembah Klang, komuter awam dan rel luar bandar). Ini sekali gus akan mengurangkan beban kewangan ibubapa dalam menyediakan pengangkutan anak-anak. Ini juga membantu mengurangkan kadar keciciran pendidikan dalam kalangan keluarga golongan rentan.
d. Meningkatkan keupayaan sistem logistik dan rantaian bekalan melalui peruntukan Dana Teknologi Tinggi bernilai RM500 juta, peruntukan sebanyak RM3.7 bilion bagi Skim Pembangunan Maritim dan Logistik dan Dana Pengangkutan Awam serta peruntukan RM1 bilion bagi Skim Transformasi Pendigitalan Industri. Ini bagi memastikan sektor logistik dan rantaian bekalan mampu bersaing di peringkat global dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti perkhidmatan domestik melalui program pendigitalan dan data raya (Big Data) perkhidmatan penghantaran, perkhidmatan lokasi dan track-and-trace;
e. Peruntukan RM15 bilion bagi melaksanakan projek infrastruktur jaringan pengangkutan bagi menambahbaik integrasi nasional melalui peningkatan kemudahsampaian penduduk. Antara projek yang mendapat manfaat ialah projek Lebuhraya Pan Borneo, Landasan berkembar elektrik Gemas-JB dan beberapa projek
pengangkutan lain di Johor Bahru dan Lembah Klang;
f. Kelulusan melaksanakan projek infra pengangkutan baru bernilai RM3.8 bilion di Selangor, Johor, Terengganu, Kedah dan Sabah serta peruntukan RM780 juta bagi pembangunan infra pengangkutan antara wilayah akan memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah yang lebih mampan dan efisien.
Prof Madya Ts Dr Muhammad Zaly Shah
Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif
Fakulti Bina dan Ukur
Universiti Teknologi Malaysia