KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini diseru tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa mengamalkan penggunaan air secara berhemah ketika monson barat daya yang dijangka bermula hari ini hingga bulan September.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tempoh ini kebanyakan kawasan akan mengalami taburan hujan yang rendah.
Menurutnya, keadaan ini boleh meningkatkan risiko berlakunya fenomena jerebu, khususnya jika pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Langkah pencegahan awal ini penting bukan sahaja untuk menjaga kesihatan awam, tetapi juga untuk melindungi alam sekitar dan menjamin kelangsungan sumber air negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya pada 7 Mei lalu berkata, sepanjang musim monsun barat daya, kadar kelembapan udara kelazimnnya adalah rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
Sehubungan itu, Malaysia akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai.
Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
Menurut jabatan itu lagi, semasa kemuncak musim ini pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal. – MalaysiaGazette















