Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak enam lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dan dua daripadanya adalah di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain itu, empat negeri lain turut yang menyaksikan kemunculan kluster baharu itu adalah Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Putrajaya.

“Kluster Nahaba melibatkan daerah Kota Belud di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-35, 808) telah dikenal pasti positif Covid -19 hasil saringan individu bergejala pada 4 November lalu.

“Kluster Numbak melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-22, 036) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan ke wad di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Oktober,” jelas Dr Noor Hisham.

Kluster Nahaba menjangkiti 24 individu dan Kluster Numbak menjangkiti lapan individu dengan tiga kes baharu direkodkan hari ini.

Empat lagi kluster dikesan di Semenanjung Malaysia antaranya di Kluster Perigi melibatkan daerah Klang di Selangor dengan menjangkiti seramai 39 individu dengan satu kes baharu direkodkan hari ini.

Kluster Seri Terapi pula melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur dan daerah Alor Gajah di Melaka.

Sebanyak 12 kes dikesan positif Covid-19 direkodkan daripada kes ke-36, 180 dan satu kes baharu hari ini.

Di Johor, Kluster Padang direkodkan melibatkan daerah Kota Tinggi dengan kes indeks bagi kluster ini daripada kes ke-39,210.

Kes itu menjangkiti lima individu dengan empat daripada direkodkan hari ini.

Kluster terakhir direkodkan berlaku di Putrajaya dan Kluster Harmoni didapati lima kes dikesan positif Covid-19 dikesan hari ini.

Menurut Noor Hisham, sebanyak 156 kluster Covid-19 direkodkan setakat hari ini dan 45 daripada masih aktif.

Dalam pada itu, Kluster Bah Perdana yang melibatkan Kuala Lumpur tamat hari ini apabila sembilan individu dikesan dijangkiti Covid-19 dan tiada kematian direkodkan pada kluster berkenaan. – MalaysiaGazette