Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menutup sementara semua kaunter di seluruh negeri yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud, penutupan sementara itu selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melaksanakan PKPB di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis yang berkuatkuasa mulai 9 November sehingga 6 Disember ini.

Katanya, pelanggan yang mempunyai urusan Pas Jangka Panjang Pasangan/Anak kepada warganegara, Pas Pelajar, Pas Lawatan Ikhtisas dan Pas Penggajian serta mempunyai temujanji dalam tempoh PKPB dilaksanakan boleh membuat temujanji baharu boleh dilakukan melalui Sistem Temujanji Online (STO).

“Penjadualan semula temujanji STO boleh dilakukan setelah perkhidmatan kaunter JIM dibuka semula dan diterima walaupun melepasi 31 Disember ini.

“Pemohon perlu memohon semula temujanji melalui STO setelah tempoh PKPB tamat dan kaunter imigresen dibuka semula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau menambah, pelawat asing yang masuk ke negara ini sejak 1 Januari lalu dan tinggal lebih masa dibenarkan untuk meninggalkan negara melalui pintu masuk yang diwartakan tanpa perlu mendapatkan kemudahan Pas Khas dari pejabat JIM.

Bagaimanapun kebenaran ini jelas beliau tidak terpakai untuk pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara yang telah tinggal lebih masa dalam tempoh PKPB.

Katanya lagi, segala persoalan berkaitan prosedur dan urusan imigresen pula boleh diajukan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh diakses melalui laman web rasmi JIM di pautan www.imi.gov.my.-MalaysiaGazette