Sebahagian daripada pengamal media menunggu proses bedah siasat di perkarangan Bilik Jenazah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 09 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) hari ini dijangka melakukan bedah siasat terhadap dua jenazah mangsa nahas helikopter terhempas di Taman Melawati.

Namun tidak dapat dipastikan pukul berapa bedah siasat itu diadakan.

Difahamkan, seramai lima orang waris keluarga mangsa berada di unit berkenaan dan mereka ditempatkan di sebuah bilik menunggu khas.

Sementara itu, wakil-wakil media juga sudah berada di kawasan yang sama.

Sebahagian daripada pengamal media menunggu proses bedah siasat di perkarangan Bilik Jenazah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 09 NOVEMBER 2020.

Menurut kakitangan HCTM enggan mengulas lanjut mengenai proses bedah siasat dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan mengenai proses di unit forensik berkenaan.

Kenyataan rasmi berhubung bedah siasat itu hanya akan dikeluarkan oleh pihak polis dan mungkin disusuli oleh pihak hospital selepas itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi semalam, dua buah helikopter (9M-HCA dan 9M-HCB) jenis G2CA yang sedang melakukan latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dilaporkan bertembung.

Akibat daripada pertembungan tersebut, salah sebuah helikopter terhempas, sementara sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati.

Kedua-dua helikopter itu dipercayai menuju ke Genting Sempah.

Insiden berkenaan telahpun mengorbankan bekas tentera laut, Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56, dan Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41. – MalaysiaGazette