Pakar Geostrategi, Profesor Azmi Hassan bercakap pada Program Townhall Rakyat Mencari Kebenaran di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 15 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Faktor politik dan kedudukan kerajaan hari ini adalah perkara yang dinilai menjadi pertimbangan dalam perintah gag order berkaitan titah adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana, kata Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr. Azmi Hassan, perlu diakui ramai penyokong kerajaan hari ini tidak mahu melihat Najib dibebaskan.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Terrirudin Ahmad turut dijadikan `kambing hitam’ dalam isu titah adendum tersebut bagi menyelamatkan kerajaan hari ini.

“Kemungkinan besar mantan AG (Terrirudin) tidak memberitahu kepada kerajaan (kewujudan titah adendum) untuk selamatkan kerajaan.

“Sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata kerajaan tidak tahu mengenai titah adendum itu.

“Menteri Dalam Negeri pun kata ia cuma hearsay (cakap-cakap), sebab dia tidak dinasihatkan oleh mantan AG,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada sesi TownHall Rakyat Mencari Kebenaran: To Gag Or Not To Gag, Whats The Order yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini hari ini.

Sesi yang dikendalikan peguam yang juga aktivis sosial, Kamarudin Ahmad itu turut dibarisi peguam kanan, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai ahli panel.

Sementara itu, Azmi tidak bersetuju dengan tanggapan perintah gag order yang melarang mana-mana pihak daripada membincangkan isu berkaitan kes titah adendum dapat menutup mulut khususnya penyokong Najib daripada membicarakan perkara tersebut.

Ini kerana, jelas beliau, perintah gag order itu secara tidak langsung telah menarik perhatian banyak pihak untuk mengetahui mengenai titah adendum kerana beranggapan seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Bila kita adakan gag order, rakyat akan fikir sebaliknya iaitu mesti ada sesuatu nak disorokkan. Jadi saya rasa perintah itu tak perlu pun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. mengapa perlu ditimbulkan dan mendapat liputan meluas? wujud ke akta tahanan rumah ini?
    apakah hasrat para ‘cerdik pandai’ ini berhujah?
    membela najib?
    atau memporak-perandakan keamanan dan keharmonian?

Comments are closed.