50 tan kelongsong peluru yang ditemui dalam serbuan di sebuah kilang memproses sisa elektronik secara haram di Telok Panglima Garang, di sini hari ini. foto Facebook Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM

KUALA LANGAT –  Polis hari ini menemukan hampir 50 tan kelongsong dan anak peluru serta peluru hidup selepas menyerbu sebuah kilang disyaki memproses sisa elektronik secara haram di Telok Panglima Garang, di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, dalam serbuan menerusi Op Hazard itu, bahan yang dijumpai dalam hampir 50 beg itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk dileburkan bagi mengambil logam bernilai seperti timah dan tembaga.

“Dalam serbuan yang bermula 9 pagi ini, kita telah menemui sejumlah anak peluru, kelongsong peluru serta peluru hidup dipercayai bukan dari Malaysia yang cuba dilupuskan di kilang ini. Kita sedang siasat asal-usulnya dari mana.

“Hasil risikan mendapati kilang tersebut telah beroperasi selama lebih kurang dua tahun dan didapati melupuskan e-sisa secara haram,” katanya pada sidang media selepas serbuan yang disertai Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), di sini hari ini.

Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi (tengah)

Seramai 765 pegawai dan anggota PGA dan PGU serta 51 kakitangan JAS terlibat dalam Op Hazard yang dilaksanakan secara serentak hari ini membabitkan 47 lokasi di seluruh negara kecuali Perlis dan Kuala Lumpur.

Mohamad Suzrin berkata ,kes seumpama itu adalah yang pertama didedahkan polis dan siasatan awal mendapati kesemua bahagian peluru itu akan diproses menggunakan kaedah pembakaran sebelum diasingkan dan dibentuk menjadi jongkong timah dan tembaga.

Beliau berkata, premis tersebut dipercayai beroperasi secara tidak berlesen dan menggunakan khidmat pekerja warga asing yang difahamkan seramai 70 hingga 80 orang.

Pekerja warga asing berkenaan katanya, ditahan untuk siasatan lanjut bagi menentukan sama ada mereka mempunyai permit pekerjaan dan pelbagai mesin turut dirampas.

Sebahagian peluru yang yang ditemui dalam serbuan di kilang proses elektronik haram di Telok Panglima Garang di sini, hari ini.

Mohamad Suzrin berkata, kes disiasat di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) 3 dan UKK 38, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 55 (b) Akta Imigresen, Seksyen 18, 19, 25, 34a dan 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS Azlan Ahmad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen untuk menjalankan kegiatan peleraian dan peleburan bahan e-sisa serta peluru itu.

“Siasatan mendapati ada kegiatan peleburan di mana kemungkinan mereka telah menggunakan dapur yang sama (untuk bakar peluru dan e-sisa). Mereka membakar secara terbuka dan kemungkinan pelepasan gas yang berbahaya berlaku,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast