Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang dibentang baru-baru ini tidak memberi penumpuan secara jelas terhadap nasib kira-kira 600,000 pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan juga survival usahawan pendidikan bumiputera.

Selain skim pinjaman BSN MyRinggit-i COMSIS sebanyak RM100 juta yang membolehkan pelajar yang mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pembelian komputer riba, isu akses internet dalam kalangan pelajar yang belajar di luar kampus khususnya daripada keluarga B40 yang terpaksa mengikuti pengajian secara online tidak diberi perhatian secara langsung.

Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa berkata, tiada insentif khusus kepada lepasan sekolah yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menyambung pengajian di IPTS.

Situasi ini nyata merencatkan usaha kerajaan dalam meningkatkan akses pendidikan tinggi dan menyasarkan sehingga 50 peratus menjelang 2025 berbanding hanya 40 peratus ketika ini, katanya.

Menurutnya, pandemik Covid-19 nyata memberi tekanan kepada sosio-ekonomi masyarakat dan banyak keluarga dalam kelompok B40 terjejas teruk, ramai ketua keluarga yang terhimpit untuk menyediakan perbelanjaan bagi pendidikan tinggi anak-anak.

Sehubungan itu, PKIBM menggesa kerajaan memperluaskan Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar IPTA kepada pelajar-pelajar di IPTS, menyediakan dana khas RM50 sebulan bagi pelajar dari keluarga B40 selama 12 bulan bagi tujuan pembelian data telefon mudah alih untuk pembelajaran secara online.

Kerajaan juga diminta mengembalikan semula kadar asal pinjaman PTPTN kepada pelajar peringkat diploma iaitu RM4,000 untuk satu semester.

Selain itu, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) diminta menyegerakan insentif wang pendahuluan kepada pelajar IPTS yang ketika ini hanya dinikmati oleh pelajar di IPTA.

”Langkah ini juga secara langsung akan mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung keluarga lepasan SPM yang mendaftar di IPTS.

“Kerajaan juga diminta mengembalikan kemudahan pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar yang mengikuti program-program kritikal peringkat diploma di IPTS Bumiputera ahli PKIBM,” katanya hari ini.

Tambah Amir, plaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Mac lalu memberi impak mendalam terhadap kelangsungan operasi IPTS Bumiputera.

Penurunan mendadak jumlah kemasukan pelajar baharu sehingga 60 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Ujarnya, tiada langsung insentif khusus dalam Belanjawan 2021 kepada IPTS Bumiputera.

Berikutan itu, PKIBM menggesa kerajaan memberi keutamaan dan mempermudahkan IPTS Bumiputera untuk mendapat akses kepada beberapa inisiatif khas melibatkan dana Pemerkasaan Usahawan Bumiputera sebanyak RM4.6 bilion bagi melonjak dan memperkasa agenda dan sektor strategik pendidikan tinggi bumiputera.

Selain itu, melibatkan kesemua 46 buah IPTS PKIBM yang merupakan milikan penuh Bumiputera dalam pelaksanaaan inisiatif untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM bagi menjalankan program khusus termasuklah pendigitalan pembelajaran TVET
dan menaik taraf program peringkat sijil ke diploma melibatkan peruntukan sejumlah RM6.5 bilion.

Memberi peluang kepada IPTS Bumiputera bertaraf kolej dan kolej universiti yang berkelayakan dalam pelaksanaan inisiatif program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) iaitu graduan baharu ditawarkan baucar bernilai 3,000 ringgit seorang untuk mengambil kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta melibatkan peruntukan RM150 juta.

PKIBM turut mencadangkan penyediaan geran RM500,000 hingga RM1 juta bagi setiap IPTS Bumiputera bagi meningkatkan kapasiti internet dan komunikasi di kampus dan pusat pembelajaran. Insentif ini akan membantu IPTS mempertingkatkan kualiti kandungan pengajaran, prasarana internet di kampus, sekali gus
membudayakan pengajaran dan pembelajaran secara digital/online. – MalaysiaGazette