Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Hee Loy Sian meluangkan masa melihat keadaan Kolam Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dicemari dengan pembuangan bahan kimia atau pelarut dipercayai datang dari kawasan perindustrian Taman Velox, Rawang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2020

RAWANG – Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor berpunca daripada discaj efluen dari loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 225 Taman Velox, di sini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, ia berlaku susulan pelepasan tanpa kebenaran ke lurang berhampiran dan dipercayai dilepaskan oleh kawasan industri yang berdekatan loji kumbahan terbabit.

“Kita mengesyaki ada pihak yang tidak bertangguhjawab membuang sisa kimia ke lurang berdekatan yang kemudiannya mengalir ke dalam loji IWK.

“Saya dimaklumkan IWK tidak boleh memproses bahan kimia, mereka hanya boleh proses kumbahan dari kawasan perumahan.

“Kalau ada pihak berniat untuk membuang sisa kimia ke lurang, memang IWK tidak dapat selesaikan isu ini.

“Sebab itu loji IWK ini sudah seminggu tidak beroperasi kerana dicemari dengan sisa kimia dan kita boleh bau seakan buah nangka,” katanya pada sidang media di loji rawatan kumbahan IWK, Taman Velox, di sini, hari ini.

Pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor telah menyebabkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd terpaksa menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pada jam 12.20 tengah hari tadi.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), pihaknya mengesan pencemaran bau sehingga 8 TON di muka sauk LRA Rantau Panjang, manakala LRA 1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.

Sehubungan itu, LUAS telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA utama di bahagian hilir Sg. Selangor.

LUAS melaksanakan langkah nyah bau dengan meletakkan 37 beg activated carbon untuk mengawal pencemaran di lokasi.

Susulan perbuatan khianat itu, beliau dimaklumkan pihak LUAS dan Air Selangor telah membuat laporan polis agar insiden itu dapat disiasat dengan sewajanrnya.

“Kita tak boleh masuk ke IWK untuk buat siasatan, sebab ia bukan dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Jadi kita harap polis boleh masuk untuk buat siasatan dengan segera.

“Kita harap pihak IWK dapat menguatkkuasakan undang-undang untuk menjaga lurang sisa kumbahan mereka,” jelasnya.

Loy Sian turut mengesahkan air kumbahan di loji rawatan kumbahan IWK bertukar warna merah disebabkan oleh sisa industri dari kawasan perindustrian berhampiran.

“Saya tak menafikan (sabotaj). Semasa kita membuat pemantauan 24 jam, pada pukul 2 pagi, bacaan di Sungai Selangor adalah 0 TON. Pada pukul 4 pagi, Pakar Air Selangor juga buat ujian dan didapati pada 0 TON.

“Pada pukul 7 pagi, Air Selangor buat ujian air di Sungai Sembah didapati bacaan 0 TON. Maknanya memang tak berlaku pencemaran sebelum pukul 7 pagi.

“Pencemaran bau itu berlaku antara jam 7 pagi hingga 10 pagi. Ia berlaku selepas Kerajaan Negeri Selangor meluluskan Enakmen LUAS Pindaan di Dewan Negeri Selangor semalam,” katanya. – MalaysiaGazette