Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto AFIQ HAMBALI, 10 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Fokus kerajaan khasnya Kementerian Luar Negeri pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang diadakan sejak semalam termasuklah usaha tangani cabaran global pasca Covid-19.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Malaysia termasuk Menteri Luar ASEAN lain bertukar-tukar pandangan usaha pemulihan sektor ekonomi serta perdagangan pasca pandemik global itu.

“Saya baharu sahaja selesai menyertai tiga mesyuarat melibatkan Menteri Luar ASEAN, ini merupakan persediaan sebelum Sidang Kemuncak yang akan melibatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis ini.

“Antara yang saya boleh kongsi agenda utama ialah meneliti isu-isu serantau dan antarabangsa terutamanya pasca pandemik Covid-19. Itu sangat penting.

“Membincangkan hala tuju ASEAN termasuk usaha pembangunan komuniti, pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2025, isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkaitan.

“Memperincikan inisiatif utama ASEAN dalam respons terhadap Covid-19 serta keberhasilan Kepengerusian ASEAN oleh Vietnam.

“Para pemimpin ASEAN juga dijangka akan umum perubahan Pusat Serantau ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baharu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain Covid-19, Hishamuddin memberitahu, perkara lain yang menjadi perbincangan bersama pimpinan ASEAN yang lain termasuklah isu berkaitan Laut China Selatan serta pendirian Malaysia mengenainya.

“Kita akan bincang juga tentang perkembangan di Wilayah Rakhine, isu Palestin walaupun di luar ASEAN, ancaman keselamatan bukan tradisional.

“Juga para pemimpin ASEAN akan menyaksikan Majlis Menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Dalam sidang ini juga Malaysia akan ambil kesempatan untuk menyuarakan pendirian penting negara yang akan di sampaikan Perdana Menteri khasnya dalam isu-isu menyentuh kepentingan ASEAN serta Malaysia. Harap kita dapat harumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” ujarnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan Mesyuarat Berkaitan akan diadakan secara maya sejak semalam sehingga 15 November ini yang akan dihoskan oleh Vietnam, Pengerusi ASEAN untuk tahun 2020. – MalaysiaGazette