KUALA LUMPUR – Ekoran ramai tidak berpuas dengan prosedur operasi standard (SOP) di stesen minyak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan hari ini kerajaan mendakwa berlaku kekeliruan mengenainya.
Sebelum itu ramai tidak berpuas hati apabila dikenakan denda RM1,000 kerana gagal mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau secara manual ketika berurusan di premis mahu pun di stesen minyak.
Justeru Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa kekeliruan berpunca kerana perbezaan premis dan stesen adalah dua lokaliti berbeza.
Menurutnya, urusan di premis lebih kepada kontak rapat manakala urusan di stesen minyak pula tidak ada kaitan dengan sentuhan.
Katanya, jika pelanggan hendak mengisi minyak dan membuat bayaran di kaunter dalam premis berkenaan, mereka perlu mendaftar MySejahtera atau secara manual kerana berlaku sentuhan dengan pekerja.

“Tetapi, jika pelanggan menggunakan kad kredit atau kad debit dan tidak mempunyai sentuhan serta hanya berada di pam minyak, mereka tidak perlu mendaftar aplikasi MySejahtera.
“Ini kerana, mereka turun dari kereta, masukkan kad di pam, isi minyak dan mereka terus keluar dari stesen, tidak berlaku sentuhan.
“Lainlah jika ada yang hendak membeli makanan, minuman atau mengeluarkan wang di mesin ATM dalam premis berkenaan, tempat yang ada ramai orang, mereka perlu daftar MySejahtera,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.
Beliau berkata, begitu juga kepada mereka yang beratur di luar premis untuk membayar di kaunter juga tidak perlu mendaftar dengan MySejahtera termasuk singgah untuk mengisi angin atau membasuh kereta secara automatik.
“Kalau basuh kereta secara manual, baiki kenderaan di bengkel yang ada dalam stesen minyak itu, kena daftar MySejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette
















