Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melihat dan menganalisis laporan ujian klinikal fasa ketiga bagi setiap vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan sebelum membelinya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun kini terdapat 11 vaksin yang diuji pada tahap ketiga namun KKM masih belum mendapat laporan penuh mengenainya.

Kata beliau, ujian klinikal fasa ketiga vaksin amat penting kerana ia berkaitan keberkesanan dan keselamatan pengguna.

“Kami berharap untuk mendapatkan laporan itu dan kami akan menganalisis untuk melihat aspek keselamatan serta keberkesanan vaksin itu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman oleh sebuah syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer, tentang penghasilan vaksin Covid-19.

Vaksin itu dilaporkan mencatatkan keberkesanan hingga 90 peratus, bagaimanapun ia perlu disimpan pada suhu -80 darjah Celcius.

Sementara itu, menurut Dr. Noor Hisham, KKM juga perlu menyediakan infrastuktur yang lengkap khususnya berkaitan logistik sebelum memperolehi vaksin Covid-19.- MalaysiaGazette