Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kesemua peserta Peringkat Menteri Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah memuktamadkan rundingan perjanjian ini dan akan
mendatanganinya pada hari Ahad ini.

Ia melibatkan 14 menteri dari negara peserta RCEP (RPC) yang lain termasuk 5 negara rakan FTA ASEAN.

Perjanjian RCEP merupakan satu perjanjian yang amat penting kepada ASEAN yang akan membuktikan kepada dunia bahawa usaha bersama ASEAN dalam memperkuatkan sistem perdagangan dunia pelbagai hala dan juga usaha untuk menegakkan agenda pembangunan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan memuktmadkan rundingan ini akan menjadi bukti kepada dunia bahawa ASEAN bersama-sama dengan rakan FTA ASEAN yang lain menolak langkah-langkah perdagangan bersifat pelindungan dan sebaliknya menyokong perdagangan bebas dunia.

Apabila perjanjian ini ditandatangani pada Ahad ini, ia akan memberikan isyarat yang positif kepada dunia bahawa Malaysia bersama-sama RPC lain memilih untuk membuka pasaran dan bukan sebaliknya menggunakan langkah-langkah perdagangan yang bersifat pelindungan pada waktu yang mencabar kini.

Menurutnya, perjanjian ini adalah selaras dengan pengumuman Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2021 untuk membantu membaik pulih sektor perniagaan di Malaysia.

”Perjanjian ini akan mempertingkatkan integrasi ekonomi serantau dengan kesan pengganda kepada ekonomi. Ini termasuk membuka peluang pasaran kepada hampir satu pertiga penduduk dunia yang akan membawa manfaat kepada peniaga dan pedagang.

”Selain itu, perjanjian ini akan menyeragamkan peraturan dan standard berkaitan perdagangan, termasuk langkah bukan tarif, yang dapat membantu dalam perdagangan merentas sempadan dalam rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Azmin yakin bahawa secara keseluruhannya, RCEP dapat menarik lebih banyak pelaburan yang akan membawa manfaat kepada rantau ini.

Malaysia juga yakin bahawa perjanjian ini boleh jadi pemangkin bagi pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Pelaksanaan perjanjian ini kelak dapat membantu membuka pasaran baharu serta memantapkan rantaian bekalan serantau.

Ini adalah selaras dengan hasrat Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ASEAN Comprehensive Recovery Framework – ACRF), di bawah Strategi Memaksimakan Keboleh Pasaran Intra-ASEAN dan Integrasi Meluas.

”Pada masa yang mencabar ini, saya percaya peri pentingnya untuk kita semua bertindak dalam solidariti dan secara kolektif untuk memastikan ACRF dilaksanakan dengan jayanya.

”Setelah hampir 8 tahun berunding dengan penuh keringat dan liku-liku mencabar, kita telah berjaya menghampiri ke garisan penamat untuk memeteraikan perjanjian RCEP pada hari Ahad ini,” ujar beliau.

Perjanjian ini akan membuktikan kesatuan ASEAN dalam membentuk agenda perdagangan sedunia.

Oleh yang demikian, amat penting agar kesemua RPC menyokong untuk membentuk Jawatankuasa Bersama Sementara RCEP bagi memastikan pelaksanaan perjanjian RCEP berjalan dengan lancar dan segera. – MalaysiaGazette