KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyambut baik peruntukan sebanyak RM5.422 bilion dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan pada Jumaat lalu.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.134 bilion merupakan peruntukan tambahan untuk disalurkan kepada agensi di bawah kementerian khususnya melibatkan program-progam perlindungan sosial, latihan kemahiran dan insentif pengambilan pekerja.

“Dana-dana ini akan digunakan untuk mengatasi isu penangguran, melahirkan peluang pekerjaan, menambahkan kemahiran-kemahiran seperti upskilling, reskilling, crosskilling, dan realskilling.

“Ini akan menjadi keutamaan KSM dan kami gembira dengan peruntukan ini,” katanya dalam sidang media mengenai Belanjawan 2021 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, sebagai kesinambungan kejayaan program Penjana Kerjaya, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan program siri kedua itu.

“Menerusi usaha itu, insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan.

“Pengambilan pekerja orang kurang upaya (OKU), penganggur jangka panjang, ibu tunggal dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi lagi insentif tambahan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan pekerja berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette