Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 06 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan menangguh projek untuk pembangunan pejabat beberapa kementerian dalam Belanjawan 2021, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi menjelaskan, peruntukan pembangunan pelbagai kementerian itu tidak wajar diteruskan, sebaliknya kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan berkaitan Covid-19.

“Peruntukan pembangunan pelbagai kementerian dicatatkan meningkat 520 peratus, ini termasuk pembangunan pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) RM160 juta dan bangunan pejabatnya di seberang laut bernilai RM64.4 juta, RM231 juta pula bagi pembangunan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Bagi peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dinaikkan dari RM7.9 bilion pada 2020 kepada RM11.7 bilion (2021).

“Apa perlu RM1 bilion daripada RM100 bilion untuk projek khas. Apa perlu RM125 juta bagi menaik taraf Kompleks Angkasapuri. Kita perlu tangguhkan projek ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Mahathir turut mencadangkan saiz Kabinet dikurangkan kerana jumlahnya terlalu besar sedangkan ada rakyat yang tidak dapat bekerja akibat Covid-19.

Jelas beliau, adalah lebih baik saiz Kabinet itu dikecilkan kerana ia tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran.

“Yang lebih utama pada rakyat ialah mereka terdedah kepada kebuluran. Bagi mereka yang tidak pernah mengalami kebuluran, tekanan sudah sampai ke tahap menekan jiwa.

“Sudah ada yang membunuh diri kerana terputus kehidupan biasa. Ada ramai yang mengalami tekanan jiwa apabila digugur daripada pekerjaan.

“Sesungguhnya kes-kes seperti ini perlu ditangani secepat mungkin. Usaha perlu dilakukan. Rancangan untuk membantu mereka perlu menyeluruh. Di sinilah tempatnya untuk kerajaan curahkan wang.

“Saya sedar budget 2021 ini ada peruntukan untuk membantu mereka yang terputus harapan. Tetapi bantuan yang dicadang tidaklah mencukupi dan tidak menyeluruh.

“Perbelanjaan untuk pembangunan boleh dikurangkan atau ditangguh supaya dana yang diselamatkan boleh diguna untuk mengurangkan tekanan jiwa. – MalaysiaGazette