Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Tiada keperluan untuk membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang walaupun kes penularan pandemik itu semakin tinggi di Lembah Klang.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKRC hanya akan dibuka semula jika keadaan terpaksa.

Namun sehingga ini jelas beliau, semua kemudahan yang dimiliki Kementerian Kesihatan Malaysia masih mencukup untuk menampung katil-katil pesakit Covid-19.

“Kita akan menggunakan kemudahan Kementerian Kesihatan dulu. Kalau terpaksa baru kita buka hospital sementara Maeps.

“Setakat tidak perlu lagi kerana ada kemudahan di kementerian untuk tampung pesakit semakin bertambah,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada PKRC di Maeps akan dibuka semula berikutan kes positif Covid-19 di Lembah Klang semakin meningkat termasuk 544 kes positif atau 49.3 peratus dikesan hari ini.

PRRC Serdang secara rasminya menamatkan operasinya pada 15 Julai lalu.

Ia ditutup selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyaksikan proses pesakit terakhir telah discaj pada 10 Julai dari pusat berkenaan.

PKRC Serdang sebagai salah satu langkah proaktif Kerajaan dalam menangani pandemik penyakit Covid-19 di negara ini.

Ia telah mula beroperasi secara rasmi pada 16 April lalu dan mula menerima pesakit pertama pada 21 April 2020.

PKRC merupakan kolaborasi pelbagai agensi yang diterajui oleh KKM dan melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Markas Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara Malaysia, Malaysia Genome Institute dan MAEPS

Sehingga 10 Julai lalu, PKRC telah berjaya merawat seramai 1,362 orang pesakit di mana majoritinya adalah bukan warganegara (86 peratus) dan 14% adalah warganegara Malaysia. – MalaysiaGazette