Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, mereka yang terlibat hendaklah bersedia menghadapi tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah.

“Pegawai-pegawai yang ditahan tersebut telah disyaki terlibat dalam aktiviti pemalsuan cop keselamatan imigresen.

“Penahanan mereka adalah hasil kerjasama antara JIM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya dalam perkongsian maklumat yang diperolehi daripada aduan orang ramai.

“Jabatan ini akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan secara penuh profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas penahanan seramai 40 pegawai JIM dan tiga orang awam oleh SPRM dipercayai terlibat kes pemalsuan cop sempadan di Johor dan Selangor.

Sumber berkata, kira-kira 10 pegawai imigresen ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu hari ini manakala 30 lagi diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain itu, tiga orang awam yang disyaki bertindak sebagai orang tengah pula ditahan di sekitar bandaraya Johor Bharu.

Menurut sumber, kegiatan itu melibatkan pasport warga asing yang dicop di sempadan biarpun pemilik dokumen tidak keluar lagi dari negara ini.

SPRM dijangka mendapatkan perintah reman terhadap semua individu terbabit di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan Putrajaya, esok. – MalaysiaGazette