Dong Zong

PETALING JAYA – Sekolah rendah jenis kebangsaan Cina atau SRJKC masih menjadi pilihan ibu bapa keturunan Cina walaupun peratusan murid kaum itu di SRJKC telah menurun.

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) menganggarkan lebih 90 peratus keluarga keturunan Cina menghantar anak mereka ke SRJKC untuk menerima pendidikan asas.

Dong Zong dalam satu kenyataan berkata, walaupun terdapat juga murid Cina yang belajar di sekolah swasta dan sekolah antarabangsa, majoriti ibu bapa Cina masih menghantar anak ke SRJKC.

Menurut kenyataan itu yang dipetik Sinchew Daily, SRJKC juga semakin mendapat sambutan daripada keluarga bukan keturunan Cina.

Jelas Dong Zong, penurunan jumlah murid Cina dan peningkatan murid bukan Cina seterusnya menyumbang kepada penurunan peratusan murid Cina dan peningkatan murid bukan Cina di SRJKC dalam tempoh 10 tahun.

Dong Zong mengulas jawapan bertulis Menteri Pendidikan di Parlimen baru-baru ini bahawa murid bukan Cina telah meningkat dalam tempoh 10 tahun manakala jumlah murid Cina menurun di SRJKC.

Dong Zong menjelaskan, banci yang dijalankan menunjukkan trend kadar kelahiran semua kaum telah menurun dan penurunan adalah paling ketara untuk kaum Cina.

“Pengurangan jumlah anak dalam keluarga Cina menyebabkan jumlah murid keturunan Cina dalam SRJKC turut menurun.

“Hakikatnya, sekolah kebangsaan dan sekolah aliran Tamil juga mengalami isu pengurangan murid disebabkan penurunan kadar kelahiran.

“Walau bagaimanapun, kadar kelahiran bumiputera yang meningkatkan semula telah menyumbang kepada peningkatan jumlah murid di sekolah kebangsaan dalam tempoh dua tiga tahun terdekat,” kata kenyataan Dong Zong. – MalaysiaGazette