Sebanyak 7 kluster baharu Covid-19 dilaporkan dalam perkembangan terbaharu jangkitan pandemik maut itu hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima kluster Covid-19 diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Kelima-limanya adalah Kluster Bangau-Bangau, Kluster Tasik, Kluster Olive, Kluster Buang Sayang dan Kluster Kau Sing.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan pertambahan lima lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.

Pertama, Kluster Avenue melibatkan daerah Penampang, Sabah.

“Sehingga hari ini, sejumlah 246 individu telah disaring di mana 110 kes dikesan positif Covid-19  dan 136 individu dikesan negatif,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Noor Hisham, kedua ialah Kluster Kejora di Kota Kinabalu yang mana setakat ini sembilan dikesan positif..

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-48, 798) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 November lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 62 individu negatif,” katanya lagi.

Ketiga adalah Kluster Kasah di Kepong melibatkan kumpulan berisiko tinggi iaitu para pekerja di sebuah syarikat keselamatan pada 17 November 2020.

“Kesemua kes merupakan bukan warganegara dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Seramai 19 kes dikesan positif Covid-19 manakala 51 individu masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Keempat adalah Kluster Summer di Timur Laut Pulau Pinang.

“Sehingga 17 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 53
individu telah disaring di mana 11 kes dikesan positif Covid-19, 38 individu dikesan negatif dan empat masih menunggu,” kata beliau.

Kluster kelima adalah Kluster Mengketil di Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah di negeri Kelantan dan daerah Besut di negeri Terengganu.

“Sebanyak 24 kes baru dikesan, 164 negatif manakala 22 menunggu keputusan,” menurut Hisham. – MalaysiaGazette