Suasana orang ramai beratur untuk memajak emas dan barang kemas bagi membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Sungai Way, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Sembilan individu melibatkan sembilan premis pajak gadai tanpa lesen di empat negeri diserbu bakal berhadapan tuduhan di mahkamah.

Sembilan premis yang terlibat adalah Selangor (empat), Perak dan Pahang masing-masing dua manakala satu di Kuala Lumpur.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan berkata, turut ditahan 16 individu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 iaitu menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen yang sah.

Ketika serbuan dibuat oleh Cawangan Siasatan dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti turut dirampas wang tunai berjumlah RM38,292,00, barang kemas seperti cincin, rantai tangan, rantai leher, alat penimbang emas, cecair asid penguji emas, buku daftar perniagaan tebusan emas dan resit menyerupai surat pajak gadai.

Dalam pada itu berdasarkan pemantauan, KPKT mendapati premis Premis Pajak Gadai (PPG) mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Orang ramai juga boleh membuat aduan mengenai urusniaga pajak gadai tidak berlesen dan berlesen kepada KPKT melalui Sistem Aduan Bersepadu yang boleh diakses melalui laman web KPKT iaitu http://www.kpkt.gov.my.-MalaysiaGazette