Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine Muhyiddin Yassin National Covid-19 Immunisation Programme
Muhyiddin Yassin PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa kehidupan rakyat dan pengundi di Parlimen Batu Sapi, Sabah tidak akan terjejas dengan pengisytiharan darurat yang diumumkan Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, langkah itu diambil hanyalah bertujuan untuk membatal dan menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat daripada pandemik Covid-19.

“Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini. Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi.

“Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta prosedur standard operasi (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa di Sabah,” katanya dalam perutusan khas mengenai PRK Batu Sapi, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini di mana ada keperluan itu untuk membatalkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang ditetapkan pada 5 Disember ini.

Pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK bagi P.185 Batu Sapi, Sabah.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen ini, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Di samping itu, dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum, iaitu tiada nombor rumah, dan akan menyukarkan pelaksanaan Undi Pos.

Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin juga menjelaskan, Jemaah Menteri membuat keputusan menasihati YDPA supaya mengisytiharkan darurat setelah bermesyuarat pada 13 November lalu

“Jemaah Menteri mengambil kira kesan penularan Covid-19 di Sabah susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan pada September lalu.

“Data menunjukkan pada 12 September lalu, iaitu pada hari penamaan calon PRN Sabah, kes kumulatif Covid-19 di Sabah berjumlah 808 kes.

“Pada 26 September, iaitu pada hari mengundi, kes kumulatif Covid-19 di Sabah telah meningkat kepada 1,547 kes, iaitu peningkatan sebanyak 91.5 peratus.

“Situasi penularan Covid-19 di Sabah menjadi lebih buruk apabila peningkatan berlaku secara mendadak dalam tempoh empat minggu selepas hari mengundi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette