Walaupun semua daerah di Kelantan tamat PKPB, tetapi negeri itu tertakluk bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Kelantan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengumumkan negeri itu diletakkan bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai jam 12.01 tengah malam ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini selepas mendengar pembentangan dari Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa kes Covid-19 di seluruh Kelantan.

“Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh KKM, mendapati terdapat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di Kelantan.

“Sehubungan itu, atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di seluruh negeri Kelantan bermula 21 November sehingga 6 Disember ini.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di seluruh negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, prosedur standard operasi (SOP) bagi PKPB di negeri itu sama seperti yang diumumkan sebelum ini, antaranya pergerakan keluar masuk/merentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada polis.

Katanya, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Hanya tiga orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan, manakala individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz ditutup.

“Aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan, semua aktiviti sosial dan budaya tidak dibenarkan sama sekali termasuk pusat hiburan dan kelab malam.

Ismail Sabri Yaakob

Bagaimanapun, katanya, semua kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP ditetapkan dengan restoran atau kedai makan secara dine-in dihadkan dua hingga empat orang satu meja dengan SOP premis makanan yang ditetapkan.

Namun, pembelian makanan digalakkan secara take away, delivery, drive thru, manakala pasar harian dibuka jam 6 pagi hingga 2 petang, pasar borong (4 pagi – 2petang), pasar tani (6 pagi – 12 tengah hari), pasar malam (4 petang – 10 malam) dengan pematuhan SOP yang ketat dan menerusi pengawasan anggota Rela.

Operasi stesen minyak pula bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam (kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam), manakala pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, teksi/e-hailing (maksimum dua penumpang) dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Kenderaan bawa pekerja boleh membawa penumpang seperti ditetapkan sebelum ini, manakala sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

Waktu operasi klinik, hospital kerajaan dan swasta dibenarkan 24 jam, manakala farmasi dan kedai ubat-ubatan mulai jam 8 pagi sehingga 11 malam. – MalaysiaGazette