Tiga orang bayi berusia antara 19 hari hingga 2 bulan diterbangkan oleh TUDM dari Kuching ke Subang untuk rawatan jantung di IJN dan juga Gleanegles Ampang di sini hari ini.kredit foto: Markas TUDM

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) hari ini berjaya melaksanakan penerbangan ihsan membawa tiga bayi yang mengalami masalah jantung dari Kuching, Sarawak ke Pangkalan Udara Subang untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) dan juga Hospital Gleneagles di sini hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM Markas Tentera Udara Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini berkata, mereka adalah dua bayi perempuan dan seorang bayi lelaki.

“Bayi pertama perempuan bernama Eliora Mia Nawan berusia 20 hari mengalami masalah jantung Transposition Of Great Arteries akan dirawat di Hospital Gleneagles, Ampang.

“Manakala bayi kedua iaitu Marry Anne Methew Mavrick, berusia 19 hari menghadapi masalah jantung Congenital Heart Block,” kata kenyataan itu.

Tiga bayi berusia 19 hari hingga 2 bulan berkomplikasi jantung diterbangkan oleh TUDM dari Kuching ke Subang untuk rawatan segera di IJN dan Glenagles Ampang hari ini.

Tambah TUDM, pesakit ketiga adalah bayi lelaki bernama Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad berusia dua bulan.

“Bayi ini menghadapi masalah jantung Congenital Heart Disease akan dirawat di IJN.

“Kesemua bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan daripada Hospital Umum Sarawak,” kata jabatan itu lagi.

Ketiga-tiga bayi itu diterbangkan menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang yang telah diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin dengan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi bersama dua orang Loadmaster iaitu PWU II Amran Rashid @ Jaafar dan Sarjan U Mohd Naim Kamijan serta dua orang Supplementary Crew, iaitu Koperal U Mohamad Azim Jamal dan Koperal U Harun bin Mustafa.

Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah dua orang pegawai perubatan, dua orang jururawat dan ibu kepada bayi masing-masing.

Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada jam 7.07 malam dan selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada jam 8.43 malam tadi.

Penerbangan ihsan itu dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dengan segera dan tertakluk kepada keadaan-keadaan tertentu terutama nasihat dari pegawai perubatan.

Bahagian Perhubungan Awam menambah usaha murni itu memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial malah turut membuktikan bahawa TUDM sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan.

Terdahulu, pesawat A400M ini juga turut melaksanakan penerbangan logistic comm membawa Tim Mobilisasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia serta peralatan perubatan daripada KKM dan Badan Bukan Kerajaan daripada Academy Medicine Of Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia yang dihantar ke Sabah iaitu ke Tawau dan Kota Kinabalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast