Arkib Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (dua kanan) diiringi Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd. Rahim Bakeri (dua kiri), Timbalan Menteri Kewangan 2, Mohd Shahar Abdullah (kanan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon (kiri) bergambar sebelum meninggalkan Bangunan Kementerian Kewangan bagi membentangkan Belanjawan 2021 di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 melambangkan  suara rakyat kerana terdapat lebih 6,600 cadangan daripada pelbagai pihak seperti rakyat, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan telah dipertimbangkan dalam merangka bajet tahunan itu.

Oleh itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, ini bukan masa untuk mempertaruhkan kesejahteraan rakyat terutama ketika dunia masih dalam keadaan terumbang-ambing.

“Apa-apa pun, Kerajaan ini akan terus berusaha melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dirancang.

“Saya berharap perkara-perkara yang sememangnya jelas untuk Kesejahteraan Rakyat tidak menjadi mainan politik.

“Tentu sekali ini bukan masanya untuk mempertaruhkan kesejahteraan rakyat, di kala dunia masih terumbang-ambing. Marilah kita menjadi contoh kepada dunia bahawa apabila keadaan sukar melanda, kita mampu merentas ideologi politik masing-masing bagi mengatasinya bersama, demi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi negara.

“Let us stay the course,” katanya dalam satu hantaran bertajuk Nukilan MK (Menteri Kewangan): Bolehkah Belanjawan 2021 Mengekalkan Momentum Pemulihan Ekonomi di Facebooknya hari ini.

Beliau mengakui bahawa pemulihan ekonomi negara pada tahun depan tidak mudah dan amat bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kebolehan Malaysia mengawal penularan Covid-19, penemuan vaksin serta memastikan vaksin dapat disampaikan kepada seramai mungkin rakyat dalam masa yang singkat.

Selain itu, memastikan Belanjawan 2021 diluluskan juga merupakan salah satu perkara penting dalam membolehkan momentum pemulihan ekonomi dapat diteruskan, ujarnya.

“Jangan lupa, Belanjawan 2021 juga merangkumi projek infrastruktur dan peruntukan pembangunan untuk membolehkan syarikat-syarikat mewujudkan pekerjaan merentasi lebih 30 sektor perniagaan – semuanya bersaling kait.

“Jika Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan baik, InsyaAllah, kita dapat menambah pekerjaan, menambah sumber pendapatan dan merangsang ekonomi setinggi 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya lagi.

Tambah beliau, usaha kerajaan untuk melindungi nyawa rakyat dan memulihkan ekonomi bukanlah sekadar melalui Belanjawan 2021 sahaja.

Malah usaha tersebut telah dimulakan dari awal yang mana tidak kurang daripada empat pakej rangsangan ekonomi telah dilancarkan sejak Mac lalu.

Kerajaan katanya, bersedia untuk menambah bantuan pada masa akan datang sekiranya diperlukan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. rakyat sejahtera ke sekarang? . lepas ini akan bayar gst pula untok tampong perbelanjaan sekarang. sejahtera kah itu? . kalau puak menteri aku percaya lah memang sejahtera. menteri dikelantan boleh jadi pejabat kebajikan rakyat lagi. sejahtera lah mereka.

Comments are closed.