Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob menunjukkan barang rampasan dalam kejayaan tangkapan sindiket pembekal Mule Account untuk kegiatan penipuan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan pinjaman palsu yang terlibat membekal keldai akaun menyasarkan mangsa dalam kalangan mereka berpendapatan rendah dengan bayaran lumayan tumpas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki tiga wanita tempatan berusia antara 20 hingga 32 tahun disyaki ahli sindiket itu dicekup dalam serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Kuala Lumpur dan Ibupejabat Polis Daerah Cheras di sekitar ibu negara dan Selangor pada 5 hingga 10 November lalu.

Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan beroperasi sejak awal tahun 2019 dan ahli sering mengiklankan kegiatan mereka dalam akaun dalam media sosial dengan menawarkan bayaran tertentu kepada mereka yang sanggup menyerahkan akaun kepada sindiket tersebut.

“Sasaran ahli sindiket tertumpu kepada golongan yang berpendapatan kecil, tidak bekerja dan mereka yang tiada dalam senarai hitam bank.

“Hasil siasatan polis mendapati semua tangkapan berkenaan terdiri daripada kumpulan sindiket pencari dan pembekal kad ATM (mule account) untuk kegiatan jenayah dengan bayaran antara RM500 hingga RM800 untuk setiap akaun yang dibeli dari orang berpendapat ringan dan penganggur.

“Sindiket berkenaan kemudian membekalkan kad ATM (keldai akaun) yang berjaya dibeli kepada sindiket jenayah dengan harga antara RM2,000 hingga RM3,500 bergantung kepada jenis akaun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Zainuddin, para ahli-ahli sindiket itu dilatih untuk mempengaruhi pemilik akaun supaya tiada sebarang rasa curiga selepas kad ATM diserahkan dan hasil pendapatan setiap ahli sindiket ialah antara RM500 hingga RM1,500 untuk setiap kad ATM dengan anggaran pendapatan bulanan RM5,000 hinggalah RM10,000.

Menurut beliau, mereka juga menggunakan kondominium mewah sebagai tempat kediaman sehingga mampu membayar sewa bulanan antara RM3,000 hingga RM5,000 bertujuan mengelak kegiatan haram itu mudah dihidu pihak berkuasa.

“Hasil tangkapan berjaya menimbulkan 32 laporan polis melibatkan kes-kes jenayah komersial seluruh negara membabitkan kerugian RM1,153 juta setakat ini dalam kes berkenaan.

“Kesemua suspek berjaya direman dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga denda selain tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Polis dalam serbuan sama berjaya merampas selaras senjata Rifle Air Soft Gun berlaras sniper, tiga pucuk pistol tiruan air Soft Gun Gas Blowback Gun jenis Taran Tactikal Enovation S Combat Master dan dua pistol Air soft Gun jenis We Glock 18C Tactical beserta satu kelopaj pistol air soft, sebilah pisau lipat, satu bekas pengisar ganja mengandungi daun tumbuhan kering disyaki kanabis, 79 keping kad ATM, 24 buah telefon bimbit, empat laptop, tiga kad pengenalan tempatan.

“Polis turut memburu dua lagi ahli sindiket yang bebas di luar berusia 30 dan 31 tahun dan tiga daripada kesemua 10 suspek itu memiliki rekod jenayah lampau dadah,” ujar beliau.- MalaysiaGazette