Pasukan RoboXcelerate mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih dua pingat emas serta beberapa kedudukan dalam kelompok 10 terbaik pada World Robotic Center Competition 2026 (WRCC 2026).

KUALA LUMPUR – Pasukan RoboXcelerate mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih dua pingat emas serta beberapa kedudukan dalam kelompok 10 terbaik pada World Robotic Center Competition 2026 (WRCC 2026) yang berlangsung di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Pertandingan robotik bertaraf antarabangsa itu dianjurkan dengan kerjasama Koperasi UPM Berhad (KUPUTRA), World Robotic Center Association Malaysia dan Robotika Nusantara Association Indonesia serta menghimpunkan lebih 1,200 peserta dari pelbagai peringkat pendidikan dan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Adaptive Tech Sdn. Bhd. (ATSB), Areehan Abdullah berkata, penyertaan RoboXcelerate dalam pertandingan berkenaan turut memperkukuh komitmen syarikat dalam memperkasa pendidikan STEAM serta membangunkan bakat muda dalam bidang robotik, automasi, kecerdasan buatan dan teknologi digital.

“Usaha ini selaras dengan keperluan dan tuntutan Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan generasi muda mempunyai kemahiran teknologi, kreativiti, daya penyelesaian masalah serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang pesat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam WRCC 2026, Pasukan RoboXcelerate A berjaya merangkul dua pingat emas, masing-masing dalam kategori Robot Sumo 1 kilogram (kg) RC (Junior) dan Robot Soccer 1kg RC (Junior).

Selain itu, beberapa pasukan RoboXcelerate turut mencatatkan keputusan membanggakan dalam kelompok 10 terbaik iaitu RoboXcelerate D di tempat keenam bagi kategori Robot Soccer 1kg RC (Junior), RoboXcelerate B di tempat ketujuh bagi kategori sama, RoboXcelerate 2 di tempat ketujuh bagi kategori Robot Soccer 1kg RC (Senior), manakala RoboXcelerate C menduduki tempat kelapan bagi kategori Robot Soccer 1kg RC (Junior).

Pasukan junior terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan Seri Besout, Sungkai, Perak manakala pasukan senior pula diwakili pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan, Kuantan, Pahang.

Antara peserta sekolah rendah ialah Asytar Harraz Mohd Hafiz; Muhammad Aryan Iskandar Muhammad Hafeez; Asyraf Hafiy  Mohd Hafiz’ Nur Aleesya Tasneem Mohd Izuan; Muhammad Akif Ziyad Kamarudin; Delisha Amani Muhamad Sobri; Nur Aireena Tasneem Mohd Izuan; Ainul Mardhiah Mohd Rushdi; Nur Adriana Aleesa Ahmad Sazili dan Aisyah Afiqah Abdul Karim.

Pasukan sekolah menengah pula diwakili Muhammad Faris Mohd Fadhil, Muhammad Aqil Aizuddin Hapizu, N. Sanjay serta Muhammad Amirul Hanif Nor Azri.

Lebih membanggakan, kejayaan di WRCC 2026 meneruskan momentum cemerlang RoboXcelerate dalam pelbagai pertandingan robotik sepanjang tahun ini.

Sejak kejayaan di Bangkok, pasukan berkenaan telah mencatatkan pelbagai pencapaian antaranya RoboGen Challenge (RGC) 2026 dengan satu perak dalam kategori Sumo, satu gangsa bagi Pick & Place dan tempat kelima bagi Soccer.

Dalam IE2C Innovation Challenge 2026, RoboXcelerate meraih satu Anugerah Khas, satu emas dan dua gangsa manakala dalam RoboMania 2026 Football Cup Northern Region, pasukan muncul juara selain memperoleh kedudukan Top 8.

Pada Rovation 2026, RoboXcelerate mencatatkan kejayaan sebagai juara, naib juara dan tempat kelima dalam kategori Soccer, naib juara bagi Sumo serta tempat keempat dan keenam dalam kategori Drone.

Sementara itu, dalam IIUM Robotic Competition (IRC) 2026, pasukan berjaya meraih gelaran juara, naib juara dan tempat keempat bagi kategori Soccer Primary selain beberapa pencapaian bagi kategori Soccer Secondary dan Sumo Secondary.

Dalam National Robotics Competitions (NRC) 2026 peringkat Negeri Pahang, RoboXcelerate turut meraih tempat ketiga bagi kategori Future Innovator.

Kejayaan berterusan itu menunjukkan konsistensi pasukan RoboXcelerate dalam membangunkan bakat dan keupayaan peserta dalam bidang robotik serta teknologi.

ATSB menegaskan komitmennya untuk terus melahirkan generasi pelajar yang kreatif, berdaya saing, berilmu dan berkemahiran dalam bidang robotik serta pendidikan STEAM.

Kejayaan RoboXcelerate di pentas antarabangsa itu diharapkan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka bidang sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik serta menjadikan robotik sebagai platform membina kemahiran dan potensi diri bagi menghadapi cabaran masa depan.

KEPUTUSAN PENCAPAIAN

🥇 EMAS
* Pasukan RoboXcelerate A – Kategori Robot Sumo 1kg RC (Junior)
* Pasukan RoboXcelerate A – Kategori Robot Soccer 1kg RC (Junior)

🏅 10 TEMPAT TERBAIK
* Ke-6: Pasukan RoboXcelerate D – Kategori Robot Soccer 1kg RC (Junior)
* Ke-7: Pasukan RoboXcelerate B – Kategori Robot Soccer 1kg RC (Junior)
* Ke-7: Pasukan RoboXcelerate 2 – Kategori Robot Soccer 1kg RC (Senior)
* Ke-8: Pasukan RoboXcelerate C – Kategori Robot Soccer 1kg RC (Junior). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here