JOHOR BAHRU – Semangat yang dizahirkan pemilik syarikat pengangkutan, M Kandapan, 66, dalam meraikan bulan kemerdekaan pada setiap tahun wajar dijadikan contoh dan inspirasi.
Malah, kata Pengerusi Yayasan Sultanah Rogayah, Datuk R Sugumaran, kesungguhan Kandapan atau dikenali sebagai ‘Merdeka Kandapan’ menyemai semangat patriotik dengan cara tersendiri harus diiktiraf di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Justeru pihaknya menyeru kerajaan Johor mahupun Kerajaan Pusat memberi pengiktirafan sesuai kepada warga emas itu berikutan tidak pernah ketinggalan bagi memupuk semangat kemerdekaan setiap kali menjelang hari kemerdekaan.
Beliau berkata, Kandapan konsisten menunjukkan semangat patriotik sejak 26 tahun lalu dengan cara tersendiri.
“Kandapan bukan saja berkonvoi menggunakan kereta yang dihiasi bendera serta pelekat khas pemimpin serta tokoh negara, malah turut mengiasi kediamannya dengan ribuan bendera.
“Dia juga berusaha memenuhi undangan memeriahkan sambutan kemerdekaan di sekolah sekitar bandar raya bersama-sama warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke sambutan hari kemerdekaan di kediaman Kandapan di Jalan Gunung, Bandar Seri Alam di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Datuk Faridah P Hamsa.

Katanya, semua yang dilakukan tanpa mengharapkan sebarang balasan walaupun setiap tahun membelanjakan ribuan ringgit termasuk bagi meraikan sambutan kemerdekaan di kediamannya bersama-sama komuniti setempat.
Menurutnya, pada tahun ini, sambutan di kediaman berkenaan lebih meriah dengan kehadiran pasukan polis selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kami kagum dengan semangat patriotik Kandapan yang luar biasa, ia seharusnya diiktiraf supaya memupuk semangat ramai untuk mengibar sekurang-kurangnya satu Jalur Gemilang di setiap rumah atau premis sempena bulan Kemerdekaan,” katanya.
Sementara itu, Faridah berkata, ia merupakan pengalaman julung kali meraikan sambutan kemerdekaan di kediaman Kandapan yang turut dihiasi dengan kolum Jalur Gemilang yang dihasilkan dengan bunga.
“Selain mengedarkan Jalur Gemilang, kita juga menampal pelekat bendera Malaysia di kereta di komuniti Bandar Seri Alam.
“Sambutan ini dilakukan kerana kita tidak mahu generasi hari ini lupa bagaimana negara ini dibina.
“Keamanan yang mereka rasakan hari ini adalah sesuatu yang perlu dihargai dan dipelihara,” katanya.
Sementara itu, Kandapan berkata, pada tahun ini, dia memenuhi undangan ke 20 sekolah di sekitar bandar raya ini.
“Walaupun saya belum pulih sepenuhnya daripada angin ahmar, namun semangat patriotik menjadi kekuatan kepada saya untuk terus bergerak.
“Saya seronok apabila dapat bertemu orang ramai, mengibar Jalur Gemilang dan ia memberi kepuasan kepada diri saya sebagai rakyat.
“Saya bercadang berkonvoi ke sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka pada tahun ini termasuk memasang impian untuk bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Apa yang negara menyumbang kepada kita tidak penting sebaliknya apa sumbangan kita kepada negara adalah penting,” katanya.- MalaysiaGazette
















