Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan dengan memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran selari dengan keperluan industri termasuk menerusi program peningkatan kemahiran (upskilling).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendekatan itu menjadi antara fokus utama Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 yang dilancarkan hari ini.

Beliau berkata, pelan berkenaan dibangunkan menerusi kerjasama menyeluruh dalam ekosistem KPT bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan graduan seiring dengan keperluan pasaran pekerjaan.

Menurutnya, antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Kita sentiasa menyediakan ruang supaya sistem sedia ada mempunyai keanjalan untuk dirombak dan disesuaikan berdasarkan keperluan pasaran itu sendiri.

“Secara keseluruhannya, perancangan yang dilaksanakan telah berjalan dengan baik namun dari semasa ke semasa kita perlu membuat semakan terhadap perubahan keperluan pasaran dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran PSKG 2026-2030 dan Penyampaian Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 bersempena Persidangan Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi (PKGKPT) di sini hari ini.

Zambry berkata, isu kebolehpasaran graduan tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut mendapatkan pekerjaan sebaliknya turut merangkumi kesepadanan pekerjaan dengan kelayakan, kemahiran dan produktiviti graduan.

“Masalah sebenar bukan graduan tidak mendapat pekerjaan tetapi mereka mendapat pekerjaan yang tidak selaras dengan kelayakan, kemahiran dan tahap produktiviti yang dimiliki,” katanya.

Menurutnya, keperluan tenaga kerja juga tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah graduan berkelulusan ijazah semata-mata sebaliknya perlu mengambil kira keperluan di peringkat diploma serta kelayakan dan kemahiran lain.

Sebagai contoh, katanya, keperluan tenaga kerja dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) perlu diperhalusi bagi menentukan tahap kelayakan yang benar-benar diperlukan industri.

“Keperluan itu ada kaitan dengan industri berkaitan kejuruteraan dan tidak semestinya pada tahap ijazah. Mungkin diperlukan di peringkat diploma dan kelayakan kemahiran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPT turut memperluas kerjasama dengan industri menerusi pelaksanaan program industri di kampus serta penglibatan syarikat dalam pembangunan bakat.

Pendekatan itu termasuk program stackable yang membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran secara berperingkat bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan penggunaan mesin baharu.

“Pekerja mungkin sudah lama berada dalam industri tetapi apabila mesin atau teknologi baharu diperkenalkan, mereka memerlukan proses upskilling.

“Sebab itu kita menyediakan program yang boleh ditambah secara berperingkat,” katanya.

PSKG 2026-2030 turut menggariskan lima teras utama meliputi pembinaan karakter, komunikasi dan minda global; pendidikan tinggi berteraskan kemahiran serta pengalaman kerja sebenar; inovasi, keusahawanan dan penciptaan pekerjaan; pengukuhan hubungan industri-akademia; serta pembentukan graduan sebagai warga bertanggungjawab yang menyumbang kepada komuniti, kelestarian dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here