Seorang bekas ketua pegawai eksekutif, Datuk Lee Son Hong dihadapkan ke mahkamah dengan 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah berjumlah kira-kira RM145 juta ketika di Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2020.

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif WRP Asia Pasicif hari ini mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu dan lapan pecah amanah melibatkan kira-kira RM145 juta.

Berdasarkan fakta pertuduhan pertama dan ketiga yang dihadapinya, Datuk Lee Son Hong, 63, antara 27 Mac hingga 22 Disember 2015 ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif WRP Asia Pasicif didakwa memperdayakan prinsipalnya menerusi invois berasingan berjumlah RM2,520,000, RM4,200,000 dan RM 1,680,000.

Invois berkenaan diletakkan atas nama Tower Success Group LTD.

Berniat mengelirukan prinsipal, Son Hong didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Akta berkenaan jika disabit kesalahan menetapkan hukuman penjara selama tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Beliau turut didakwa atas lapan pertuduhan melibatkan pecah amanah terhadap harta milik WRP Pacific bernilai kira-kira RM137,000,000.

Kesalahan itu dilakukannya di antara 24 Mac 2015 hingga 18 Januari 2018 ketika menjadi ketua pegawai eksekutif di syarikat berkenaan.

Kelapan-lapan pertuduhan berkenaan adalah kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun maksimum selain sebat dan denda.

Dalam pada itu, isterinya, Datin Too Sooi Keng berhadapan dengan tujuh pertuduhan bersubahat dengan melibatkan pecah amanah terhadap lebih RM100 juta.

Seorang Pengarah Syarikat, Too Soi Keng hadir ke mahkamah atas tujuh pertuduhan bersubahat dengan seorang bekas ketua pegawai eksekutif, Datuk Lee Son Hong yang juga merupakan suaminya ketika di Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2020.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan sekitar 12 Disember 2013 hingga 24 Mac 2016 yang mana di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau 20 tahun maksimum selain sebat dan denda.

Hakim Rozilah Salleh kemudian mengarahkan kedua-dua mereka membayar ikat jamin masing-masing RM1.5 juta dengan seoarang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan pasangan berkenaan menyerahkan passport perjalanan sehingga proses perbicaraan kes selesai.

Beliau turut menetapkan 4 Januari 2021 sebagai pengurusan dan sebutan kes.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam menahan pasangan berkenaan selepas hadir memberi keterangan.-MalaysiaGazette