Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempertimbangkan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan Parlimen Gerik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebelum membuat keputusan itu, jemaah Menteri akan mendapatkan pandangan dan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu.

Kata beliau, kedua-dua badan itu akan membuat penilaian risiko di dua kawasan berkenaan dan jika wabak Covid-19 masih bergelaja, jemaah Menteri akan meminta Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat.

“Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan wabak Covid-19 dengan menggunapakai Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan pendekatan pengurusan kesihatan awam.

“Namun, negara ini masih berhadapan dengan penularan wabak Covid-19 gelombang keempat yang telah berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Bagi mengelak perkara sama berlaku, kerajaan memutuskan pelaksanaan Proklamasi Darurat Perkara 150 (1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan untuk dilaksanakan dalam Bahagian Plihanraya Parlimen Batu Sapi, Sabah bagi menangguhkan PRK,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian-BN) yang bertanya adakah kerajaan bercadang untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik.

Menurut Takiyuddin, rentetan daripada kes penularan wabak Covid-19 selepas PRN Sabah baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) berhadapan dengan kesukaran mendapatkan petugas pilihan raya.

Ini katanya, disebabkan petugas bimbang akan penularan wabak Covid-19 di pusat mengundi di Batu Sapi dan situasi sama dijangka berlaku di DUN Bugaya serta Parlimen Gerik.

“KKM memaklumkan kekangan untuk menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengundi di khemah bergejala kerana keperluan pegawai dan kakitangan kesihatan yang tinggi di hospital dan Klinik Kesihatan.

“Malah, pada masa sama, kebimbangan pengundi Parlimen Batu Sapi, DUN Bugaya dan Parlimen Gerik berkenaan risiko jangkitan Covid-19 di pusat mengundi, juga dijangka menyebabkan peratus keluar mengundi yang rendah,” katanya. – MalaysiaGazette