Beberapa bot nelayan asing Indonesia yang menceroboh perairan Malaysia di Pulau Perak. Gambar Ihsan: TLDM

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Malaysia diusir dalam tempoh 48 jam.

Ia dilakukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi Op Benteng Laut, Op Pejarak dan rondaan pemantauan Selat Melaka dengan menggunakan Kapal KD Mahawangsa.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua kapal nelayan terbabit diusir selepas berada di posisi kira-kira 25 batu nautika barat daya hingga 52 batu nautika selatan Pulau Perak.

Menurutnya, pada 22 November lepas Kapal KD Mahawangsa telah mengesan lima buah bot nelayan asing yang tidak memiliki nombor pendaftaran di Selat Melaka Utara pada pukul 7.45 malam dan telah mengusirnya.

Sebanyak 13 buah bot nelayan asing diusir lagi pada pagi semalam dan tujuh lagi pada waktu petang selepas menerima maklumat daripada Air Component Commander (ACC), pesawat agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“TLDM sentiasa memperkasakan OP Benteng bersama pelbagai agensi maritim yang lain di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada pencerobohan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, keperkasaan TLDM melalui Maritime Component Commander (MCC) adalah dengan kehadiran kapal TLDM yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu bagi menyokong hasrat dan aspirasi negara dalam mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mencegah
penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette