Shinzo Abe. foto Reuters

TOKYO – Pejabat bekas Perdana Menteri Shinzo Abe dikatakan membantu menanggung kos majlis makan malam untuk para penyokongnya, sekali gus terdapat kemungkinan berlaku penyalahgunaan dana dan undang-undang pilihan raya.

Perkara tersebut didedahkan oleh sumber-sumber rapat dengan bekas Perdana Menteri Jepun itu kepada media tempatan.

Skandal yang menghantui Abe sejak tahun lepas itu timbul semula dan ini boleh memusnahkan reputasi beliau dan juga mengancam kedudukan Perdana Menteri Yoshihide Suga yang merupakan orang kanan Abe bagi tempoh 2012-2020.

Ahli-ahli politik di Jepun dilarang untuk menyediakan apa-apa yang dikira sebagai hadiah kepada kawasan masing-masing.

Peraturan ketat itu telah menyebabkan seorang menteri terpaksa meletak jawatan selepas mengagihkan kipas kertas pada musim panas 2014.

Abe dengan tegas menafikan dakwaan tersebut semasa diasak oleh pembangkang semasa sesi Parlimen tahun lepas.

Ketika bercakap kepada pemberita pada hari Selasa, Abe berkata, beliau maklum mengenai tuduhan tersebut dan berjanji akan memberi kerjasama penuh kepada pendakwaraya Tokyo yang menyiasat perkara itu.

Bagaimanapun, beliau  enggan memberi komen lanjut mengenai tuduhan berkenaan.- MalaysiaGazette